~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, June 13, 2013

Menyabit kesalahan hina Raja?


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shabi (empat dari kanan) bersama sebahagian pemimpin daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan menunjukkan laporan polis mengenai individu yang didakwa menghina titah Yang di-Pertuan Agong menerusi akaun laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada 3 Jun lalu.

KEBELAKANGAN ini saya sering ditanya soalan mengenai: "Andainya seorang itu menghina Raja, apa hukuman yang boleh dikenakan ke atas orang itu?"

Saya kira soalan ini timbul ekoran berita baru-baru ini mengenai seorang wanita Cina berusia 32 tahun yang ditahan polis di Taman Nirwana, dekat Ampang, Selangor, dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Selain dia, khabarnya ada 4 individu lain yang sedang dicari polis untuk membantu siasatan. Wanita berkenaan dikatakan telah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman facebooknya.

Jawapan saya kepada soalan tersebut adalah, "Apakah yang sebenarnya dilakukan orang itu sehingga dia dikatakan telah menghina Raja?"

Dengan bahasa mudah, kita perlu faham dimensi dan sempadan undang-undang mengenai kesalahan yang dikatakan "menghina Raja" itu. Kita tidak akan dapat bertindak dengan betul sekiranya kefahaman kita masih samar-samar lagi mengenainya.

Andainya apa yang dilakukan oleh orang itu adalah sekadar membuat posting dalam akaun facebook, misalnya satu ayat biadab yang berbunyi "Aku memang meluat dengan Raja X. Dia seorang Raja yang bodoh", apakah itu satu kesalahan jenayah yang (jika disabitkan di akhir perbicaraan) boleh dikenakan hukuman penjara atau denda?

Sebelum kita pergi jauh lagi, perlu kita ingat bahawa mengikut prinsip am undang-undang jenayah negara, setiap kesalahan itu mesti ada dua elemen penting, iaitu perbuatan yang salah (actus reus), dan niat yang salah (mens rea).

Dalam contoh tersebut, actus reus-nya adalah membuat posting dalam akaun facebook supaya boleh dibaca oleh orang lain. Tetapi bagaimana dengan mens rea orang itu?

Sekiranya pasukan pendakwa dapat mengemukakan keterangan yang kukuh ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bahawa apabila orang itu membuat posting berkenaan di akaun facebooknya, dia memang ada menyimpan niat salah satu atau lebih dari berikut:

* Niat "mendatangkan kebencian atau penghinaan" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "membangkitkan perasaan tidak setia" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "menimbulkan perasaan tidak puas hati" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "menimbulkan perasaan tidak setia dalam kalangan rakyat" Raja berkenaan;

Orang itu boleh (setelah disabitkan) dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 3 tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara adalah tidak lebih daripada 5 tahun - s. 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Mungkin ramai yang berpendapat membuktikan tindakan salah pengguna facebook itu mudah sahaja. Hakikatnya tidak semudah itu, kerana pasukan pendakwa perlu mengemukakan kepada hakim bicara keterangan ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bahawa akaun facebook berkenaan adalah milik orang yang dituduh, dan memang dialah orang yang memuat naik posting berkenaan, bukan orang lain. Pastinya pihak pendakwa memerlukan kerjasama dan bantuan daripada beberapa pihak agensi kerajaan yang berkenaan.

Andainya sukar bagi pasukan pendakwa membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa orang itu ada menyimpan niat salah seperti yang disebutkan dalam Akta Hasutan tersebut, orang itu masih boleh dikenakan pertuduhan di bawah s, 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Di bawah peruntukan undang-undang ini, adalah satu kesalahan menyatakan di ruang siber (termasuk dalam emel, akaun facebook, twitter, pesanan ringkas dan lain-lain) apa-apa kenyataan atau komen yang lucah, tidak sopan, palsu, menakutkan atau menyakitkan pada sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati, memaki hamun, mengugut atau mengganggu gugat mana-mana orang lain (obscene, indecent, false, menacing, or offensive in character with intent to annoy, abuse, threaten or harass any person).

Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini, orang itu boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 1 tahun atau denda tidak lebih daripada RM50,000 atau kedua-dua sekali. Sekiranya kesalahan itu terus dilakukan selepas sabitan, orang itu boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

Barangkali disebabkan kurang faham mengenai undang-undang yang sedia ada ini (satu Akta lama dan satu lagi Akta baru) maka kini timbul cadangan agar diwujudkan satu undang-undang baru, bernama Akta Derhaka, untuk menangani masalah perbuatan menghina Raja.

Pada hemat saya, undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi untuk membanteras kesalahan menghina Raja. Masalahnya bukan tiada undang-undang. Masalahnya tidak ada pelaksanaan yang segera dan tegas, tidak teragak-agak dan tidak memilih bulu.

Andainya berlaku gerakan militan, tindakan ganas atau yang lebih serius lagi, misalnya sehingga ke tahap memerangi Raja (seperti peristiwa Al-Maunah di masa lampau), peruntukan yang sedia ada dalam Kanun Keseksaan (khususnya seksyen 121, 121A, 121B, 121C) sudah memadai dan masih boleh digunakan. Andainya terdapat lompong atau kesamaran dalam undang-undang ini, ia masih boleh dipinda.

Andainya satu undang-undang khusus (Akta Derhaka) hendak diwujudkan, maksud sebenar dan dimensi kesalahan "menderhaka" itu perlu terlebih dahulu diperincikan dengan tepat dan kemas sekali, difahami semua pihak agar tidak timbul kesamaran.

Andainya ada individu meluahkan rasa tidak setuju dengan apa yang dititahkan oleh Raja, tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan lain selebihnya selepas itu, individu ini belum lagi melakukan apa-apa kesalahan. Seperti ditegaskan, dua elemen kesalahan (actus reus dan mens rea itu) mesti wujud sebelum seorang itu boleh diheret ke mahkamah.

Pada hemat saya, andainya Akta Derhaka ini hendak diwujudkan, terlebih dahulu cadangan awal ini mesti dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja, agar pandangan dan nasihat Majlis Raja diperolehi sebelum Rang Undang-Undang ini digubal oleh Jabatan Peguam Negara.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment