~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, March 14, 2012

Khairy buat Anwar tersentak!



Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tersentak apabila menerima serangan balas daripada seorang penyokong kerajaan yang membuktikan bahawa sokongan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap usaha melindungi keselamatan negara Israel adalah bersifat mutlak dan bukannya bersyarat.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) ketika mendedahkan perkara itu berkata, ia jelas kerana maksud contingent (syarat) oleh The Wall Street Journal (WSJ) bukan merujuk kepada sokongannya melindungi keselamatan Israel, sebaliknya merujuk kepada pertanyaan sama ada Anwar mahu mengiktiraf negara Israel atau sebaliknya.

Menurut beliau, kenyataan Anwar seperti disiarkan di WSJ pada Januari lalu terbahagi kepada dua iaitu pertama mengenai sokongan Ketua Pembangkang itu terhadap usaha melindungi keselamatan Israel dan kedua, pengiktirafan negara Israel.

"Saya baca semula kenyataan Ketua Pembangkang di dalam WSJ. Kenyataan ini ada dua bahagian, maksud yang disampaikan tadi iaitu 'to support all effort to protect security Israel' tidak ada contingent (syarat), yang ada contingent merujuk kepada iktiraf kerajaan dan negara Israel," katanya.

Beliau mencelah ketika Anwar sedang membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 26 Januari lalu, WSJ menyiarkan kenyataan Anwar. Berikut adalah kenyataan asal Ketua Pembangkang itu: "I support all efforts to protect the security of the state of Israel, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians."

Bagaimanapun, Anwar bingkas bangun dan tidak membenarkan Khairy meneruskan celahannya apabila Ahli Parlimen Rembau itu berjaya membuka mata wakil rakyat mengenai contingent (syarat) itu.

Anwar sambil memperlekehkan kelulusan Universiti Oxford yang dimiliki Khairy terus mempertahankan bahawa kenyataannya menyokong usaha melindungi keselamatan Israel itu tetap tertakluk kepada syarat.

Dakwa Anwar, media yang dikuasai oleh UMNO sebenarnya telah memutarbelitkan kenyataan beliau mengenai isu tersebut sehingga ia disalah tafsir oleh semua pihak.

"Malah, seorang pemimpin Hamas, Khalid Mashal ketika saya temui di Doha tahu mengenai syarat yang telah saya tetapkan ini," ujarnya.

Khairy yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Anwar kemudian bangkit dan mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai maksud kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seperti mana disiarkan oleh WSJ.

Bagaimanapun Anwar tidak mahu memberi laluan dan meneruskan perbahasan meskipun sebelum itu beliau membenarkan Ketua Pemuda UMNO itu mencelah.

Khairy yang masih tidak berpuas hati cuba sekali lagi mencelah tetapi Ahli Parlimen Rembau itu kemudian diminta duduk oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidy Tuanku Jaafar.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment