~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Thursday, February 9, 2012
PKR sangkal konspirasi singkirkan MB Azizan!
Dakwaan wujudnya konspirasi dalam kalangan ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah suatu pembohongan besar yang diadakan untuk menjejaskan hubungan baik antara PKR, Pas dan DAP.
Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai kewujudan konspirasi yang kononnya sedang giat digerakkan beberapa bulan lalu, malah percaya ianya tidak pernah wujud.
“PKR tiada masalah untuk bekerjasama dengan Pas dan DAP selama ini. Hubungan yang terjalin sejak sekian lama tidak pernah digugatkan dengan isu-isu semasa, malah wujud persefahaman yang baik di Kedah,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Wan Salleh mengulas laporan sebuah akhbar kelmarin, yang mendakwa pemimpin dan ahli PKR Kedah dipercayai terbabit dalam usaha menyingkirkan Azizan dengan membangkitkan pelbagai isu untuk menjejaskan imej Menteri Besar itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Laporan itu menyebut, sumber dalaman Pas yang mendedahkan perkara itu memaklumkan konspirasi itu telah wujud sejak beberapa bulan lalu.
Wan Salleh berkata, PKR sentiasa menyokong apa juga dasar yang dibawa oleh Azizan dalam pentadbiran, malah sentiasa berdiri teguh di belakangnya terutama mempertahan tindakan Azizan dalam menyelesaikan banyak isu berbangkit.
“Apakah bukti PKR sentiasa cari pasal mahu jatuhkan Azizan? Setahu saya, ahli dan pemimpin PKR yang sering bangkit mempertahan keputusan yang dibuat. Kami sokong atas dasar Pakatan Rakyat (PR), dan tidak pernah ragui kepimpinannya,” katanya.
Wan Salleh turut meragui kenyataan sumber dalaman Pas itu, yang tidak diketahui kesahihannya.
“Kita tidak tahu siapa yang membuat kenyataan itu. Sumber daripada mana? Mungkin sumber itu mahu melihat hubungan Pas-PKR-DAP retak, dengan mengada-adakan cerita tidak betul seperti ini,” katanya.
Mengulas mengenai laporan terbabit yang turut menekankan kononnya pemimpin pertengahan Pas nekad menuntut semula semua kerusi PKR yang bermasalah atau lompat parti agar diserahkan kepada Pas, Wan Salleh berkata, isu pengagihan kerusi bertanding pada PRU13 sudah selesai dan kini di peringkat Pusat.
“PKR tiada masalah dalam isu agihan kerusi bersama Pas kerana tidak berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara kami. Hanya kerusi babitkan DAP dalam rundingan. Jadi soal kerusi ini tidak timbul,” katanya.
Mengulas mengenai kepimpinan Azizan sepanjang hampir empat tahun lalu, Wan Salleh berkata, Azizan sudah menjalankan tugasnya dengan baik, dan diperakui oleh Laporan Ketua Audit Negara.
“Saya yakin ada pihak lain yang cuba melaga-lagakan PKR dengan rakan pakatan lain supaya hubungan kami terjejas, tidak mustahil ianya dilakukan oleh ahli Pas yang fanatik. Mungkin mereka mahu bolot semua kerusi untuk Pas sedangkan hakikatnya, kita dalam PR,” katanya.
Wan Salleh turut mengingatkan pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan PR supaya menghentikan segera perbuatan sia-sia itu, kerana PR Kedah dilihat semakin kukuh dan jalinan kerjasama antara rakan pakatan tidak pernah tergugat.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment