~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, February 27, 2012

Bayan Mutiara hak rakyat Pulau Pinang?


Isu pembangunan Bayan Mutiara di Pulau Pinang timbul baru-baru ini apabila tanah tebus guna yang luas itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan pemilik tanah itu. Tanah itu kemudiannya dijual kepada syarikat swasta untuk dibangunkan sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

Tanah yang dianggap sebagai bernilai amat tinggi di Bayan Mutiara adalah kawasan paling strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam memperkatakan isu ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ir. Shaik Hussein Mydin, 39, menyuarakan rasa kecewa dengan dasar Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk tidak menyelesaikan masalah yang timbul dalam pembangunan Bayan Mutiara. Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP itu berterusan mempolitikkannya dengan melibatkan pemimpin UMNO.




"Pembangunan Bayan Mutiara bukan masalah UMNO tetapi masalah rakyat Pulau Pinang tidak kira dari apa golongan sama ada miskin atau kaya, kolar biru atau kolar putih" katanya ketika ditemui di Pulau Pinang, Khamis lalu.

Shaik Hussein yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan, iaitu kawasan Parlimen yang diterajui Guan Eng membangkitkan mengenai pelan pembangunan asal Bayan Mutiara yang direka bentuk oleh PDC Properties dan PDC Consultancy yang rata-ratanya diketuai rakyat Pulau Pinang.

Kata beliau, pelan kebenaran merancang keseluruhan Bayan Mutiara telah diluluskan pada 2008/2009 yang mana kepakaran perunding yang digunakan adalah daripada PDC Properties dan PDC Consultancy. Malahan pelan bangunan bagi satu blok kondominium telah lulus.

Pelan pembangunan asal Bayan Mutiara juga mengandungi lima blok kondominium, kawasan komersial, tapak sekolah dan tapak masjid. Di samping kepakaran dan pengalaman PDC Properties dan PDC Consultancy, kerja-kerja pembinaan juga boleh dilaksanakan oleh PDC Nusabina yang juga merupakan anak syarikat PDC yang amat berpengalaman dalam melaksanakan siri pembangunan PDC selama ini.

"Semua hasil kerja dan kepakaran yang dicurahkan oleh PDC Properties dan PDC Consultancy telah musnah sebegitu sahaja apabila keseluruhan pembangunan diberikan kepada Tropicana Ivory yakni syarikat usahasama pemaju Ivory Properties Group Berhad dan Dijaya Corporation Bhd.

"Tidakkah Guan Eng nampak tidak akan ada penambaikan pengalaman dan kepakaran kepada kakitangan profesional PDC. Tahukah Guan Eng jika nilai pembangunan kasar Bayan Mutiara adalah RM10 bilion, maka pemaju akan membuat keuntungan sekurang-kurangnya 30peratus (%) yakni RM3 bilion. Hakikatnya kerajaan negeri rugi sebanyak RM2 bilion apabila hanya mendapat keuntungan RM1 bilion sahaja. Itupun setelah 5 tahun," kata Shaik Hussein.

Beliau berkata, keuntungan sekurang-kurangnya RM3 bilion boleh diperoleh PDC jika pembangunannya dilaksanakan sendiri oleh PDC memandangkan pelan pembangunannya telah lulus.

Dalam hal ini, Shaik Hussein mempersoalkan mengapa hanya dua pemaju mengambil bahagian dalam proses tender Bayan Mutiara. Adakah pemaju lain tidak mampu atau sudah tahu tiada peluang.

Kata beliau: "Pemuda tidak pernah mempertikaikan proses panggilan tender yang dibuat secara tender terbuka, yang dipertikaikan adalah proses selepas itu sehingga ditawarkan kepada pemaju, mengapa tidak telus?

Dalam konteks ini, kata Shaik Hussein, pihaknya mahu jawapan konkrit di manakah tapak masjid dan tapak sekolah dalam pembangunan keseluruhan Queensbay yang diluluskan dahulu, adakah bukan dalam pembangunan Bayan Mutiara. Begitupun, kata beliau, Pemuda mengalu-alukan kenyataan Guan Eng mengenai pembinaan tapak masjid/rumah ibadat dan sekolah dalam pembangunan Bayan Mutiara.

"Namun, yang lebih penting lagi dalam pembangunan Bayan Mutiara ini ialah Pemuda masih ingin laporan teknikal mengenai kadar harga tanah yang dijual pada harga 240 sekaki persegi yang dirasakan rendah. Ini kerana pada Mei 2011, Business Times melaporkan bahawa pemaju asal Queensbay, CP Land menjual 40 hektar tanah miliknya di Queensbay pada kadar harga 420 sekaki persegi.

"Untuk makluman, turut dilaporkan bahawa Quenssbay Mall juga dijual kepada Capitamalls Asia pada harga RM657 juta, satu harga yang amat tinggi. Pemuda hanya ingin melihat laporan teknikal penilaian tanah dan kaedah penilaiannya. Teluskah Guan Eng untuk mempamerkannya dalam semua akhbar tempatan?," katanya.

Shaik Hussein turut menarik perhatian Guan Eng mengenai persoalan yang ditimbulkan pihaknya dalam isu pembangunan Bayan Mutiara, antaranya:

* Mengapakah penilaian yang dilakukan pada 14/9/2009 digunakan untuk justifikasi harga yang ditawarkan kepada Ivory.

* Tidakkah Guan Eng tahu bahawa penilaian JPPH hanya sah untuk 6 bulan daripada tarikh penilaian yakni 14/3/2010.

* Bagaimanakah harga RM200 sekaki persegi digunakan sedangkan tarikh penilaian telah lupus?

* Bukankah penilaian baru harus dibuat pada tarikh tutup tender yakni 31/12/2010.

* Guan Eng memaklumkan pemaju perlu membina rumah mampu milik di bahagian pulau tetapi bukan Bayan Mutiara. Kenyataan ini mengelirukan rakyat, boleh dia jelaskan? Mampukah Guan Eng memastikan rumah mampu milik dibina dalam pembangunan Bayan Mutiara dan menentukan berapa harga dan bilangannya?


Secara anggaran kasar, jika nilai pembangunan kasar adalah RM10 bilion, maka 30% daripadanya untuk rumah mampu milik adalah RM3 bilion. Jika sebuah rumah mampu milik berharga RM100,000, maka Guan Eng perlu memastikan sekurang-kurangnya 30,000 unit rumah mampu milik dibina di situ. Benarkah pemaju bersetuju dan mampu melaksanakannya?

* Guan Eng masih belum menjawab mengapakah PDC tidak membangunkan tanah tersebut dengan kepakaran dan pengalaman yang ada. Apa gunanya PDC Properties yang melaksanakan banyak pembangunan PDC sebelum ini.

* Mengapakah perunding Singapura dilantik bagi projek perumahan di Batu Kawan? Apa gunanya PDC Consultancy yang pakar.

Shaik Hussein turut menegaskan bahawa pihaknya boleh membuktikan proses tender berdasarkan RFP (Request For Proposal) yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang untuk projek penswastaan Bayan Mutiara bukan tender terbuka. Berikut antara dakwaan beliau:

1. Tender terbuka bermaksud proses tender satu peringkat sahaja yakni kadar harga yang ditawarkan oleh kontraktor adalah muktamad dan tiada rundingan seterusnya yang akan dibuat.

2. Kaedah tender RFP pula adalah tender berperingkat "pelawaan untuk mengemukakan cadangan". Yakni, pemaju perlu mengemukakan skop kerja, spesifikasi, terma, cadangan teknikal dan kewangan dan lain-lain perkara yang dilihat dapat memberikan cadangan yang terbaik termasuk harga yang ditawarkan. Kaedah pemanggilan tender boleh dibuat secara tender terbuka tetapi tertakluk kepada rundingan terhadap semua keperluan teknikal dan kewangan yang diprasyaratkan oleh pemilik.

3. Berdasarkan penerangan dua kaedah tender di atas, maka boleh dikatakan proses tender RFP yang digunakan bukan tender terbuka. Ini kerana hanya proses pemanggilan tender dibuat secara terbuka dan proses seterusnya tidak.

4. Untuk memenuhi kriteria tender terbuka, semua proses seperti mempamerkan keputusan tender serta penilaian terperinci tender perlu dikendalikan oleh panel penilaian berdasarkan julat kadar harga tetap secara telus dan pemaju yang terbaik ditawarkan pada harga tender tanpa sebarang proses rundingan harga.

5. Dalam hal tender Bayan Mutiara, Guan Eng memaklumkan beberapa perkara teknikal dan kewangan dirundingkan bersama pemaju untuk mendapat harga terbaik.Hakikatnya, proses tender RFP yang dilaksanakan hanya merupakan 'terbuka' semasa "proses panggilan tender". Proses lain semua adalah secara rundingan.

"Saya tidak mahu rakyat Pulau Pinang tertipu dengan janji Guan Eng ke atas pembangunan Bayan Mutiara seperti mana beliau menipu memansuhkan tol Sungai Nyior pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dahulu. Bayan Mutiara tidak menyebut langsung pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dan seakan-akan ada rancangan hendak mengeluarkan orang miskin keluar dari bahagian pulau," kata Shaik Hussein.-UMO

Sila klik di sini sini untuk berita selanjutnya

Penang Wasabi..

Thursday, February 23, 2012

Di mana telusnya slogan 'CAT'...!


Tempoh hari, reka bentuk binaan tempat letak kereta di kaki Bukit Bendera didapati tidak sesuai. Petak-petak untuk letak kereta itu disedari hanya sesuai untuk kereta bersaiz Kancil. Itu belum termasuk siling binaan yang rendah.

Akhirnya binaan itu diputuskan untuk diruntuhkan dan dibina baru Ogos ini. Padahal kerja pembinaan menelan kos RM5 juta itu datangnya daripada peruntukan kerajaan Pusat kepada PDC. Tidakkah itu suatu pembaziran?

Itulah antara yang didakwa siri kelemahan slogan Cekap Akauntabiliti Telus (CAT) yang diperkenalkan Ketua Menteri kerajaan DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng sejak mengambil alih negeri itu pada 2008.

Demikianlah juga yang berlaku apabila pemaju dibenarkan untuk melaksanakan pembinaan 1,500 unit rumah dalam projek SPICE di atas tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PISA). Dipersoalkan oleh Barisan Nasional (BN) negeri benarkah ia dilakukan melalui sistem tender terbuka.

Projek membabitkan kos RM300 juta hasil perjanjian konsesi SPICE itu ditandatangani oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPP) dengan pemaju, Eco Meridian Sdn. Bhd., anak syarikat SP setia Berhad tahun lalu.

Namun pembinaan SPICE dikatakan hanya akan memberi kelebihan kepada pemaju menerusi pelbagai keistimewaan serta menyebabkan hasil yang sepatutnya dinikmati rakyat negeri itu hilang begitu sahaja.

"Dalam lawatan Perdana Menteri China tahun lepas, ketua menteri Guan Eng ambil kesempatan tandatangan MoU dengan satu syarikat China untuk membina terowong dari Teluk Air Tawar, Seberang Perai ke Gurney Drive di bahagian pulau yang akan melalui bawah pelabuhan Pulau Pinang, kita BN negeri juga persoalkan bagaimana syarikat itu dipilih, tidak ada langsung tender, tiba-tiba tandatangan MoU di depan kedua-dua Perdana Menteri (China dan Malaysia).

'Bila wakil BN tanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dia jawab ini (MoU) tidak terpakai sebab kita (kerajaan negeri) nak panggil tender semula, sepatutnya bila sign MoU, dia kena hormatlah.

"Inilah antara dasar ketelusan yang kita (BN) persoalkan, di mana nilai slogan CAT itu," kata Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya kepada akhbar ini ketika ditemui di Pulau Pinang Isnin lalu.

Hilmi menarik perhatian lagi apabila dalam sidang DUN, DAP membentangkan suatu perancangan besar untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di George Town dengan membina jalan sambungan dari Farlim ke Jalan Lim Chong Eu. Cadangan ini bagaimanapun didakwa dibuat tanpa kajian.

"Kita pun tak tahu bagaimana caranya kerajaan negeri DAP akan bayar kos yang tentu sekali tinggi. Malah, saya sendiri persoalkan logik kes, kalau nak selesaikan masalah lalu lintas, kenapa bawa trafik dengan perancangan terowong bawah pelabuhan dan jalan sambungan ini.

"Ini semua akan membawa aliran kenderaan ke pusat bandar. Disebabkan tidak ada pengalaman, kerajaan negeri umum dahulu, baru fikir kemudian," katanya.

Beliau seterusnya merujuk Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 mengenai Pulau Pinang. Antaranya, peruntukan pembangunannya berjumlah RM379.77 juta kepada sembilan jabatan, yang mana perbelanjaan hanya RM225.95 juta atau 59.5%.

Sejumlah lima jabatan, prestasi lebih 90%, dua jabatan prestasi 80% - 89%, satu jabatan prestasi 70% - 79%. Yang paling rendah ialah Pejabat Ketua Menteri iaitu hanya 54.7%. Ini kerana terdapat 23 projek yang tidak dapat disiap atau ditangguhkan.

"Apa projek-projek itu? Ia melibatkan enam projek pembesaran masjid dan sekolah agama, tiga projek perkuburan Islam, enam projek rumah kos rendah, tiga projek penyiasatan untuk pembangunan ekonomi Pulau Pinang, dua projek > membina Mahkamah Syariah serta masing-masing satu projek pembangunan sukan, pembangunan ICT dan projek bekalan air," katanya.

Kata Hilmi: "Namun ini langsung tidak ditegur oleh Exco-Exco dari Pas dan PKR, barangkali mungkin ada tegur tapi ketua menteri tak dengar, nampak seolah-olah ketua menteri autokratik, buat kerja sorang-sorang, partner daripada Pas dan PKR langsung tak ada peranan, inilah lompang pada pengamatan kita."

Begitu juga projek di tapak tebus guna tanah di utara Queensbay.

"Apa sudah jadi? Dulu masa BN dah diluluskan satu projek perumahan bercampur, rumah kos sederhana rendah, kos sederhana dan kos tinggi, lengkap dengan sekolah dan masjid.

"(Tetapi) sekarang di bawah Guan Eng, Pas dan PKR, rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dah hilang, yang ada rumah kos tinggi sahaja... sekolah dan masjid pun hilang juga.

"Macam ni pun rakan kongsi - Pas dan PKR tak berani tegur Guan Eng. Elok tak payah jadi kerajaan. Makin lama, makin terhakis hak kita," kata Hilmi.

Ketika baru tiga bulan mengambil kerajaan negeri, Guan Eng mengumumkan pula pencapaian Pulau Pinang sebagai negeri pertama berstatus miskin tegar sifar di negara ini. Namun mesyuarat PAC hujung tahun lepas merumuskan ramai pemilik rumah Perumahan Rakyat (PPR) tidak mampu membayar sewa. Disahkan bahawa keadaan ini disebabkan masalah miskin tegar yang masih ada di negeri itu.

Antaranya, dilaporkan keluh-kesah 20 keluarga miskin tegar di PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth supaya mereka tidak dihalau keluar berikutan kegagalan membayar tunggakan sewa (bulanan RM124). Suatu ketika, dikejutkan pula dengan kisah seorang warga emas yang juga ibu tunggal di situ yang hanya bergantung kepada bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ) sebanyak RM250 sebulan untuk membayar sewa rumah.

"Ini jelas menunjukkan apa yang berlaku tidak sama dengan apa yang kerajaan negeri cakapkan, benda yang tidak betul dikatakan betul," kata beliau.

Seperkara lagi yang menurut Hilmi bagaimana kerajaan DAP Pulau Pinang cuba mengelirukan rakyat negeri itu ialah apabila mendakwa dalam sidang DUN kononnya kerajaan Pusat hanya memperuntukkan RM700 juta kepada Pulau Pinang dari 2001 hingga 2008 padahal dakwa mereka pendapatan dari cukai kastam dan cukai pendapatan di negeri itu sahaja mencecah RM4 bilion setahun. Kalau dalam lapan tahun berapa, dakwa mereka.

"Ini satu lagi isu yang cuba dikelirukan kerajaan negeri. Hakikat sebenarnya ialah apa yang penduduk Pulau Pinang dapat adalah lebih daripada kutipan cukai. Cuba kita renung-renungkan betapa banyak projek pembangunan bernilai tinggi berbilion-bilion ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk Pulau Pinang," kata beliau.

Pelabuhan, lapangan terbang dan kemudahan infrastruktur terbaik, semuanya ada di Pulau Pinang. Itu belum lagi dikira jambatan pertama sedia ada sepanjang 13 kilometer dan bakal menyusul dibina, jambatan kedua 24 kilometer yang antara terpanjang di dunia.

CAT wajar setara dengan keikhlasan pembawa slogannya.-UMO

Penang Wasabi..

Monday, February 20, 2012

Selepas dengar penjelasan Anwar, akhirnya Nik Aziz 'iktiraf' negara Israel yang bebas!


Anwar Ibrahim yang mengadakan pertemuan kira-kira sejam dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini pagi ini berkata, Mursyidul Am Pas menerima penjelasan beliau berkenaan pendiriannya mengenai kedudukan Israel, yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ), bulan lalu.

Ketua Pembangkang itu tiba di apartmen PNB Darby Park di sini kira-kira jam 9.15 pagi dan keluar sejam kemudian. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian Pas yang tegas tentang Israel, " katanya selepas pertemuan Nik Abdul Aziz.

Sejurus selepas pertemuan itu, Anwar menuju ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. Nampaknya jika benar Nik Aziz menerima penjelasan Anwar sebagai wajar, maka ia sebenarnya sudah memperlekeh kewibawaan Majlis Syura Pas.

Apakah Majlis Syura Pas akan menolak penjelasan Anwar mengenai isu ini! Jika ya, maka ini adalah sesuatu yang serius bagi hubungan Pas dan PKR apalagi Pakatan Rakyat. Isu mengenai Israel dan nasib umat Palestin adalah sesuatu yang menyentuh hati orang Pas kerana perjuangan Pas selama ini adalah menyokong umat Palestin dan menentang kehadiran Israel di bumi Palestin.

Minggu lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar WSJ.

Nik Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Selain itu, Anwar menegaskan, dalam kenyataan beliau dalam WSJ, penekanan terhadap syarat-syarat tertentu perlu bagi pembebasan Palestin.

"Saya juga sebut tentang reaksi Ketua Hamas apabila dia melihat kenyataan saya itu. Saya ingin memberi penekanan di sini iaitu prasyarat, pertama undurkan tentera Israel dari Palestin; kedua, hentikan keganasan; ketiga, hentikan kepungan di Gaza dan keempat, Iktiraf Baitulmaqdis.

"Ini syarat-syarat yang saya sebut tetapi media di sini hanya gunakan bahagian pertama iaitu kesediaan mengiktiraf keselamatan Israel tetapi tidak letak kontinjen dan prasyarat," katanya.

Kalau Pas bersetuju dengan pandangan Anwar bermakna hilang lagi agenda perjuangan parti itu terhadap isu keadilan dan kemanusiaan seperti hilangnya perjuangan negara Islam yang beralih kepada negara berkebajikan.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan keras tentang haramnya menyokong Israel. Haram menyokong Israel memberi implikasi sebarang kenyataan dari tokoh-tokoh Islam adalah haram. Wallahuallam.

Penang Wasabi..

Saturday, February 18, 2012

Ahli desak Pas keluar pakatan pembangkang!


MOHAMED Hafiz Mohamed Nordin (depan, dua dari kanan) bersama ahli dan penyokong Pas mengadakan bantahan secara aman terhadap Anwar Ibrahim di Georgetown, Pulau Pinang, semalam

Sekumpulan ahli dan bekas ahli Pas di negeri ini mendesak parti itu keluar pakatan pembangkang berikutan keengganan Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan dalam The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sokongannya terhadap usaha memastikan keselamatan negara Israel.

Kumpulan tersebut yang diketuai oleh bekas Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin turut menyeru semua pengundi di kawasan Permatang Pauh menolak Ketua Pembangkang itu sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.

Menurut Mohamed Hafiz, Pas perlu mengkaji semula kedudukannya dalam pembangkang kerana mereka tidak memperjuangkan Islam, sebaliknya menyokong Yahudi.

Tegasnya, sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, negara akan hancur kerana menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

"Cukuplah selama ini Pas menjalin hubungan dengan pembangkang (DAP dan PKR) kerana tiada perubahan yang berlaku, malah jika Anwar menjadi Perdana Menteri, sudah pasti Kedutaan Israel bakal beroperasi di Kuala Lumpur.

"Kita selalu berusaha membantu Palestin, tetapi dia (Anwar) demi jawatan sanggup berbuat apa sahaja tanpa mempedulikan kesengsaraan yang dialami ribuan umat Islam di bumi Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perhimpunan secara aman oleh kira-kira 30 orang di Jalan Datuk Keramat, di sini selepas solat Jumaat.

Mereka juga melekatkan gambar Anwar di sebuah kerusi sebelum menterbalikkan sebagai simbolik menolaknya untuk calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Selain itu, mereka melaungkan 'Israel penceroboh', 'Anwar sokong penceroboh' dan 'Hapus Anwar'.

Penang Wasabi..

Monday, February 13, 2012

Ketua Pemuda Pas Malaysia : Karpal diminta usah polemikkan isu sambutan Hari Kekasih!


Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak mempolemikkan isu sambutan Hari Kekasih kerana apa yang ditentang Pas, bertepatan dengan perjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Karpal tidak perlu mempersoalkan pendirian Pas kerana mereka tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.

“Pemuda Pas konsisten dalam menegaskan isu ini kerana ia bukanlah ajaran Islam, tetapi kita tidak larang orang bukan Islam menyambutnya.

“Apa yang menjadi fokus adalah umat Islam terutamanya generasi muda. Orang Islam punya cara tersendiri meraikan kasih sayang antara suami isteri dan kekasih. Tidak perlu ada hari tertentu untuk meraikannya,” katanya di Ibu Pejabat Pas, semalam.


Katanya, sebagai parti memperjuangkan Islam, pihaknya bertanggungjawab menentang sambutan itu terhadap umat Islam. Pendirian itu turut disokong oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahad lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukanlah satu pendirian yang baik. Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Pas yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan. Beliau juga menggesa Pas menarik balik pendirian tersebut sebelum 14 Februari.

Menurut Nasrudin, Pemuda Pas sentiasa menghormati hak orang lain dan mereka tidak akan campur tangan dalam urusan agama lain, sebaliknya mereka menegur sikap golongan muda Islam yang meraikan sambutan Hari Kekasih.

“Jika Karpal mahu bercakap soal hak asasi dan hak individu dalam meraikan sesuatu sambutan, maka beliau juga perlu menghormati umat Islam yang terikat dengan tatacara digariskan dalam Islam. Itu yang kita tegaskan dan Karpal perlu memahami perkara ini,” katanya.

Katanya, Majlis Fatwa jelas menyatakan umat Islam dilarang meraikan sambutan Hari Kekasih itu kerana ia bukan daripada ajaran Islam.

Penang Wasabi..

Pok Nik kena balun lagi...Hari Suami Isteri tak perlu - Asri!


Tiada guna menukar nama sambutan Hari Kekasih kepada Hari Suami Isteri, jika ia tidak memberi kesan yang baik kepada budaya umat Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penukaran nama itu tidak penting. Yang utama adalah pengisian sambutan tersebut.

“Kalau kita ubah nama itu boleh memberi perubahan baik kepada Islam, baguslah, tetapi jika tidak memberi apa-apa kesan, untuk apa diubah?,” katanya disini hari ini.

Menurutnya, Hari Suami Isteri boleh diraikan pada bila-bila masa dan nilai budaya Islam perlu dipertahankan. Katanya, tarikh 14 Februari itu semakin menjadi ingatan ramai, apabila dimeriahkan oleh peniaga.

“Mereka ambil kesempatan menjual bunga dan cenderahati di merata tempat,” katanya.

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia itu berkata, tarikh itu tidak memberi apa-apa makna jika hari itu disambut dengan perbuatan yang tidak bermoral.

Minggu lalu, Pas Kelantan mencadangkan Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari, diganti kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah lebih elok jika Hari Kekasih atau Valentine Day, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

Sementara itu, penceramah bebas, yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, adalah lebih baik mengembangkan budaya sendiri daripada menyanjung budaya orang lain.

“Cadangan Hari Suami Isteri itu baik, cuma tarikh 14 Februari itu dirasakan tidak sesuai kerana pada tarikh tersebut sudah ada sambutan diraikan oleh penganut agama lain yang sememangnya haram diraikan umat Islam.

“Kenapa kita perlu obses dengan budaya orang lain, sedangkan kita boleh pilih hari lain, yang mana memberi lebih banyak makna kepada umat Islam?,” katanya.

Penang Wasabi..

Saturday, February 11, 2012

Memang ada perangcangan jahat Cina DAP nak kenakan pekerja Melayu KFC!


Video : Pergaduhan di KFC I-City, Shah Alam.

Nampaknya plot sudah ada . KFC adalah harta Melayu. Apabila rasa tergugat bila import daging berkurang, mereka mensabotaj projek NFC! Selepas kempen boikot gardenia & petronas, inilah langkah selanjutnya. Kalau difikirkan, logik ke siap rakam apa yang berlaku jika insiden itu spontan? Bermaksud memang mereka sudah merancang nak upload ke Youtube?

Ini Malaysia dan bukannya Kota London @ Paris. Tanpa perancangan, perkara ini tak mungkin berlaku. Dan satu lagi, kebiasaannya bila ada kes orang Cina bergaduh dengan orang Melayu, mereka biasanya secara tergesa-gesa akan buat laporan polis! Tetapi kini meraka gagal berbuat demikian? Kenapa…pelikkan!


Lihat video ini, siapa yang provok siapa!

Adakah mereka takut rancangan mereka terbongkar selepas disoal siasat oleh pihak polis! Sebenarnya mereka memang merancang supaya kejadian di KFC ini dijadikan isu politik. Mereka tidak senang apabila melihat ekonomi orang melayu dibawah pemerintahan BN sudah semakin baik! Inilah rancangan mereka untuk memusnahkan entity bumiputra!

Adakah ini tindakan terdesak DAP untuk menghadapi pilihanraya! Dilihat mereka cuba mempengaruhi muda mudi Cina supaya tidak memilih BN nanti kerana orang Melayu dikatakan jahat dan rasis! Persoalannya disini adalah jika betul mereka dikasari, mengapa tidak buat laporan polis! Mengapa perlu berjumpa dan mengadu pada DAP! Fikir-fikirkanlah…!!!

http://novandri.blogspot.com/2012/02/latest-perakam-video-kontroversi.html

http://novandri.blogspot.com/2012/02/terbaru-isu-pelanggan-pekerja-kfc-i.html

http://novandri.blogspot.com/2012/02/kisah-sebenar-pekerja-melayu-kfc.html

Penang Wasabi

Thursday, February 9, 2012

PKR sangkal konspirasi singkirkan MB Azizan!


Dakwaan wujudnya konspirasi dalam kalangan ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah suatu pem­bohongan besar yang diadakan untuk menjejaskan hubungan baik antara PKR, Pas dan DAP.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai ke­wujudan konspirasi yang kononnya sedang giat digerakkan beberapa bulan lalu, malah percaya ianya tidak pernah wujud.

“PKR tiada masalah untuk bekerja­sama dengan Pas dan DAP selama ini. Hubungan yang terjalin sejak sekian lama tidak pernah digugatkan dengan isu-isu semasa, malah wujud per­sefahaman yang baik di Kedah,” kata­nya, ketika dihubungi, semalam.

Wan Salleh mengulas laporan se­buah akhbar kelmarin, yang men­dakwa pemimpin dan ahli PKR Kedah dipercayai terbabit dalam usaha me­nyingkirkan Azizan dengan mem­bang­kitkan pelbagai isu untuk menjejaskan imej Menteri Besar itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Laporan itu me­nyebut, sumber dalaman Pas yang mendedahkan per­kara itu memaklumkan konspirasi itu telah wujud sejak beberapa bulan lalu.

Wan Salleh berkata, PKR sentiasa menyokong apa juga dasar yang di­bawa oleh Azizan dalam pentadbiran, malah sentiasa berdiri teguh di be­lakangnya terutama mempertahan tindakan Azizan dalam menyelesaikan banyak isu berbangkit.

“Apakah bukti PKR sentiasa cari pasal mahu jatuhkan Azizan? Setahu saya, ahli dan pemimpin PKR yang se­ring bangkit mem­pertahan keputu­san yang dibuat. Kami sokong atas dasar Pakatan Rakyat (PR), dan tidak pernah ragui kepimpinan­nya,” katanya.

Wan Salleh turut meragui ke­nyataan sumber dalaman Pas itu, yang tidak di­ketahui kesahihannya.

“Kita tidak tahu siapa yang mem­buat kenyataan itu. Sum­ber daripada mana? Mungkin sumber itu mahu me­lihat hu­bungan Pas-PKR-DAP retak, dengan mengada-adakan cerita tidak betul seperti ini,” katanya.

Mengulas me­ngenai laporan ter­babit yang turut menekankan ko­nonnya pemimpin pertengahan Pas nekad menuntut semula semua kerusi PKR yang bermasalah atau lompat parti agar diserahkan kepada Pas, Wan Salleh berkata, isu pengagihan kerusi bertanding pada PRU13 sudah selesai dan kini di peringkat Pusat.

“PKR tiada masalah dalam isu agihan kerusi bersama Pas kerana tidak berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara kami. Hanya kerusi babitkan DAP dalam rundingan. Jadi soal kerusi ini tidak timbul,” katanya.

Mengulas me­ngenai kepimpinan Azizan sepanjang hampir empat tahun lalu, Wan Salleh ber­kata, Azizan sudah menjalankan tugas­nya dengan baik, dan diperakui oleh Laporan Ketua Audit Negara.

“Saya yakin ada pihak lain yang cuba melaga-lagakan PKR dengan rakan pakatan lain supaya hubungan kami terjejas, tidak mustahil ianya dilakukan oleh ahli Pas yang fanatik. Mungkin mereka mahu bolot semua kerusi untuk Pas sedangkan hakikatnya, kita dalam PR,” katanya.

Wan Salleh turut mengingatkan pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan PR supaya menghentikan segera perbuatan sia-sia itu, kerana PR Kedah dilihat semakin kukuh dan jalinan kerjasama antara rakan pakatan tidak pernah tergugat.

Penang Wasabi..

Wednesday, February 8, 2012

DAP perlu jelas pemberian wang RM14 juta!


Pulau Pinang perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pemberian wang sebanyak RM14 juta dalam isu tanah Tan Hak Ju kerana ia melibatkan wang rakyat.

Menurut pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Zulfakar Ramlee, jumlah tersebut amat besar sebagai pampasan daripada sebuah kerajaan yang memerintah.

''Jika pampasan itu daripada pihak swasta ia mungkin tidak perlu dipertikaikan tetapi kalau daripada kerajaan negeri ini sesuatu yang perlu diperjelaskan,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata beliau, rakyat Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran untuk memantau isu berkenaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

''Kita kena lihat atas dasar apa kerajaan negeri boleh mengeluarkan wang sebegitu banyak sebagai pampasan,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Teng Hock Nan yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu sebagai 'pelik' kerana ia masih dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

Pada 31 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri telah mendepositkan sebanyak RM14 juta kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 Mei 2009 seperti diperintahkan mahkamah.

Namun, pada 11 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi supaya membayar RM40 juta kepada Hak Ju. Sebaliknya, kerajaan hanya perlu membayar RM500,000 kepada Hak Ju sebagai bayaran kos yang ditanggungnya sepanjang perbicaraan kes itu.

Dalam pada itu, pakar undang-undang Prof. Salleh Buang berkata, rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui alasan kerajaan membuat bayaran sedemikian.

''Jika mereka mencurigai tindakan tersebut laporan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),'' katanya.

Namun, beliau berkata, jika kes berkenaan masih di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan maka keputusan kerajaan negeri membayar pampasan itu agak luar biasa.

''Kalau kes itu masih di peringkat rayuan oleh mana-mana pihak maka, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlekehkan fungsi mahkamah,'' katanya.

Penang Wasabi..

Saturday, February 4, 2012

Azizan berani sanggah manifesto ‘Buku Jingga’ pakatan pembangkang!


Dalam ramai-ramai orang kanan parti pembangkang ini, ada seorang yang benar-benar sudah ‘nampak' apabila berani menyanggah isi kandungan Buku Jingga.

Bukan mahu memuji Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana waktu pelancaran buku atau manifesto PRU-13 pembangkang tempoh hari pun dia tidak membantah langsung.

Cuma sekarang, barulah Azizan tersedar daripada lamunan untuk mengakui kenyataan-kenyataan dan alasan yang diberikan oleh para pemimpin kerajaan sedia ada bahawa 10 janji dalam ‘Buku Jingga’ untuk dilaksanakan oleh pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka berkuasa hanyalah janji-janji manis dan populis.

Benar dan tepat sekali kenyataan Azizan yang tidak semua kandungan Buku Jingga itu sesuai dilaksanakan di negeri tertentu. Memang berani sungguh Azizan untuk berkongsi nada dan pendapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa terdapat perkara-perkara dalam buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat setempat.

Cuba kita rungkai kembali janji utama pembangkang ‘yang paling menusuk sanubari rakyat' dalam Buku Jingga iaitu menghapuskan tol.

Janji seperti ini sememangnya mampu menambat hati sesiapa sahaja kerana setiap rakyat pasti mengidamkan kemudahan lebuh raya yang percuma tanpa sebarang tol. Tetapi pada masa sama, lebuh raya berkenaan mestilah serba lengkap dan perkhidmatannya berkelas pertama.

Hakikatnya, adalah amat mustahil untuk memenuhi kedua-dua kehendak ini secara serentak. Tetapi apa yang realistiknya adalah kejayaan pelaksanaan sistem tol pada kadar paling minimum sekarang sekali gus mengekang kenaikannya dari semasa ke semasa dengan memikirkan beban rakyat.

Jika badan pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diarahkan mengambil alih kesemua 19 syarikat konsesi lebuh raya yang ada ketika ini seperti yang dicanangkan dalam Buku Jingga, ia akan menelan belanja antara RM50 bilion hingga RM100 bilion. Jumlah ini bukanlah satu angka yang sedikit untuk dibelanjakan oleh kerajaan semata-mata untuk memberikan tol percuma.

Dengan pendapatan kerajaan hanya RM158.6 bilion (pada 2009), melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Malah, kos pengambilalihan konsesi lebuh raya di antara RM50 bilion hingga RM100 bilion itu juga belum termasuk kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya terbabit. Berdasarkan kos tahunan yang ditanggung oleh syarikat PLUS ketika ini, kos penyelenggaraan rutin adalah RM235 juta, kos pentadbiran (RM349 juta) dan melangsaikan hutang (RM410 juta). Secara kasarnya, kos operasi dan pengurusan lebuh raya akan menelan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun.

Ya! benar sekali tanggapan Azizan bahawa untuk melaksanakan janji dalam manifesto, ia perlu berpandukan ‘suasana yang mengizinkan'. Tentu rakyat Malaysia maklum dengan janji pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, dengan DAP dalam manifesto pilihan raya mereka telah berjanji untuk menghapuskan tol di Plaza Tol Sungai Nyior dan Jambatan Pulau Pinang.

Namun setelah dapat menubuhkan kerajaan negeri, janji itu tidak dilaksanakan sehingga kini. Jelas terbukti janji itu sekadar populis dan amat mustahil untuk dilaksanakan. Akibatnya, rakyat tertipu.

Itu baru satu janji daripada 10 janji pembangkang dalam Buku Jingga. Kalau dihuraikan sembilan yang lain, tentu banyak cacat celanya. Contoh paling mudah boleh diteliti terhadap janji pakatan pembangkang untuk meningkatkan pendapatan semua isi rumah kepada tahap minimum RM4,000 dalam tempoh lima tahun menjelang 2015.

Untuk melaksanakan satu janji ini sahaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM93.9 bilion setahun untuk diagihkan kepada 3.8 juta isi rumah berpendapatan rendah dengan kadar imbuhan purata RM2,045 bagi seorang isi rumah.

Padahnya nanti jika janji-janji pembangkang dalam Buku Jingga ini direalisasikan, Malaysia akan menerima nasib sama seperti Greece yang sudah bankrap susulan hutang dan perbelanjaan awam terlalu tinggi sehingga gagal ditampung pendapatan kerajaan.

Walaupun Greece sebuah negara di Eropah dan bersandarkan kepada kumpulan kerjasama ekonomi Eropah yang paling kukuh dan sistem kewangan tunggal diperakui paling stabil dengan peraturan ketat di bawah European Central Bank (ECB), namun Greece terpaksa berhadapan dengan krisis kewangan akibat perbelanjaan negara secara boros sehingga hutangnya mencecah lebih 300 bilion euro (RM1.23 trilion).

Akibatnya, ketika ini rakyat Greece hidup menderita susulan kesukaran mendapatkan pekerjaan, aktiviti perniagaan tidak berjalan, kebajikan dan pembangunan sosial terjejas dan program jangka panjang pembangunan negara terbantut.

Apa yang berlaku di Greece akan turut menimpa Malaysia dalam tempoh tiga tahun jika bersandarkan corak pentadbiran dan pengurusan seperti yang dirangka pakatan pembangkang. Dalam tempoh tiga tahun juga, hutang negara bakal mencecah RM1.22 trilion (124.1 peratus daripada KDNK). Dan sudah mengalahkan Greece yang hanya berada pada paras 120 peratus sahaja KDNK jumlah hutang negara mereka.

Syabas! diucapkan kepada Azizan kerana berani tanpa gentar menyanggah Buku Jingga yang dicanang-canangkan sekutunya sendiri.

Mana mungkin seseorang hanya bercerita mahu membeli itu dan ini, bukit dan gunung malahan hingga bulan dan bintang. Sedangkan sumber kewangannya sendiri tidak diperjelaskan untuk menyokong cita-citanya itu.

Penang Wasabi..

Wednesday, February 1, 2012

Apabila 'PARASIT' ketawa besar!


Khalid Abdul Samad menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah parasit.

"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.

"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia menjadi popular atas isu Pas," katanya di sini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini baru-baru ini.

Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO," katanya.

Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam UMNO.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).

"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah' dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.

"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon lesen khas," katanya.

Penang Wasabi..