~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, September 19, 2010

Rakan pula mati "mengejut" : Polis siasat kematian Sarina dan kaitan kes Sosilawati!

Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar ( gambar ) bagi memastikan sama ada kes tersebut berkait dengan pembunuhan rakan baiknya Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu daripada semua sudut.

"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen hari ini.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang telah disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sebelum itu : Rakan Sosilawati ditemui mati

Pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar yang juga kenalan rapat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini hari ini.

Pemilik syarikat SBJ Aveer Services Sdn. Bhd. berusia 45 tahun itu ditemui tergantung di biliknya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.

Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Anak sulung Sarina, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dihubungi memberitahu, berita kematian ibunya mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah tidak menunjukkan perubahan sikap kebelakangan ini.

Mohd. Azrul berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di Kuala Lumpur dan kali terakhir dia menemui Sarina ialah pada petang semalam dan sempat menasihati ibunya supaya berhati-hati dalam perniagaan ekoran banyak berlaku kes pembunuhan kebelakangan ini.

"Ibu beberapa kali turut menyuarakan rasa terkilan dan sedih berhubung kejadian yang menimpa Datuk Sosilawati kerana ibu rapat dengannya," kata Mohd. Azrul.

Menurutnya, kejadian tersebut sangat menyedihkan keluarganya tambahan lagi ia berlaku ketika mereka sedang memulakan persiapan bagi majlis perkahwinannya yang dijadualkan Januari nanti.

"Saya telefon ibu pagi tadi tetapi tidak diangkat sehinggalah diberitahu mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Sigh yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat Sarina ditemui mati di rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat.

"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan kita harap semua pihak tidak membuat spekulasi walaupun mangsa dikatakan kenalan rapat Datuk Sosilawati," katanya.

Apa-apa pun elak spekulasi dan berserah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan!

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment