~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, November 3, 2014

DNA 'LELAKI Y' DALAM REKTRUM MOHD SAIFUL MILIK ANWAR?


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berhujah bahawa profil DNA 'Lelaki Y' yang dijumpai di dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik bekas ketuanya, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Lelaki Y adalah perayu," kata Muhammad Shafee ketika berhujah dalam rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd Saiful.

Muhammad Shafee berkata, ini berdasarkan analisis DNA yang dijalankan oleh ahli kimia, Dr Nor Aidora Saedon terhadap tiga barang kes iaitu berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral yang diambil dari sel lokap, tempat Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dari 16 Julai hingga 17 Julai 2008.

"Bacaan profil DNA Lelaki Y yang peroleh ahli kimia sepadan tepat dengan penyumbang sampel DNA tidak diketahui yang dijumpai pada ketiga-tiga barang itu," kata beliau ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Empat orang lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar serta Datuk Ramly Ali.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan catatan pada diari lokap, dinyatakan bahawa sel itu kosong dan bersih sebelum ketua pembangkang tiba dan Anwar juga ialah satu-satunya penghuni sel itu.

"Apabila perayu meninggalkan lokap, berus gigi dan tuala Good Morning dijumpai di atas lantai sel. Ini menunjukkan bahawa perayu memang menggunakan barang-barang itu dan membuka paket plastik mengandungi barang-barang itu yang diberi kepadanya," kata beliau dan menambah botol air mineral dijumpai di atas tembok penghadang sel.


Berhubung penangkapan Anwar bersabit dengan siasatan kes liwat, Muhammad Shafee berkata, ia sah mengikut undang-undang kerana polis telah memaklumkan kepada tertuduh mengenai alasan penangkapannya dan menunjukkan waran tangkap.

"Dia (Anwar) dimaklumkan tentang alasan penahanannya dan kertas pertuduhan juga ditunjukkan kepadanya," katanya.

Muhammad Shafee juga menarik perhatian bahawa pihak pembela hanya membangkitkan isu perolehan ketiga-tiga barang itu semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, pihak pembela juga tidak mencabar keterangan pegawai polis yang mendengar bunyi Anwar memberus gigi di dalam bilik air lokap.

"Pihak pembela tidak mencabarnya di Mahkamah Rayuan, tetapi di peringkat mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan), mereka membangkitkan isu itu," kata beliau.

Muhammad Shafee berkata, ketiga-tiga barang itu tidak diperoleh secara sah kerana penahanan Anwar atas pertuduhan liwat dijalankan mengikut undang-undang. Beliau berhujah bahawa sekalipun barang-barang itu diperoleh secara tidak sah, apa-apa yang relevan dengan pertuduhan masih boleh diterima mengikut Akta Keterangan 1950.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment