~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Sunday, October 7, 2012
Paderi pertikai ugama sebenar Lim Guan Eng dan mengingatkan gereja bukan tempat berpolitik?
Pihak gereja meminta pemimpin politik tidak mengheret rumah ibadat ke dalam kancah politik kerana ia hanya akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni.
Bishop Gereja Lutheran Evangelical, Rt. Rev. Dr. Solomon Rajah berkata, permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar pihak gereja bangkit menyatakan ketidakadilan seperti dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam, hanya akan dilihat sebagai satu usaha untuk mempengaruhi pihak gereja agar berpolitik.
Menurutnya, kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak seharusnya menjadi ikutan penganut Kristian.
"Gereja ialah tempat yang sangat suci. Mengapa keluarkan kenyataan seperti itu di dalam gereja? Gereja bukan tempat sesiapa untuk berceramah tentang politik.
"Memang kita berhak untuk menyuarakan rasa tidak adil terhadap sesuatu perkara tetapi saya merasakan ketika ini, keadaan Malaysia bukan huru-hara sehingga terpaksa mengambil alternatif untuk mencampuradukkan soal spiritual dan politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam yang memetik kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang menggesa penganut Kristian tidak berdiam diri walaupun merasakan mereka 'tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah'.
Guan Eng ketika bercakap di hadapan 300 pemimpin gereja berkata, walaupun penganutnya bertanggungjawab di hadapan Tuhan, penting untuk mereka menyuarakan 'keadilan untuk semua' yang merupakan slogan pakatan pembangkang.
"Gereja boleh memainkan peranan menentang ketidakadilan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih kuat," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Dalam sesi dialog dua jam itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diminta berkongsi cabaran yang dihadapi dalam menangani isu-isu berkaitan gereja sejak mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008.
Menurut Rajah, seruan meminta gereja menyatakan pendirian mereka terhadap soal ketidakadilan seperti dinyatakan Guan Eng itu hanya akan dilihat sebagai bermotifkan politik.
"Saya tidak pasti sama ada beliau menganut agama Kristian atau Buddha. Saya juga tidak pasti mengapa beliau boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu di dalam sebuah gereja tetapi saya mahu beliau tahu, pihak gereja tidak perlu diseru untuk menegakkan keadilan demi kepentingan politik.
"Kami tidak mewakili suara kerajaan atau pembangkang serta bukan alat politik mana-mana pihak, kami berdoa untuk kesejahteraan semua orang. Jangan sesekali politikkan isu agama," tegasnya.
Beliau turut menyeru kepada rakyat khususnya yang beragama Kristian supaya tidak taksub dengan pihak tertentu sehingga terlibat dengan perkara yang melanggar undang-undang.
"Saya secara peribadi tidak gemar dengan keadaan huru-hara atau perhimpunan yang melibatkan keganasan kerana adalah lebih elok kita menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Gereja Malaysia, Rev. Dr. Thomas Phillips berkata, adalah tidak elok sekiranya seseorang menggunakan gereja sebagai tempat mencari undi.
"Kita tidak boleh sesekali menggunakan gereja sebagai tempat memancing undi untuk mana-mana parti politik. Gereja bukan tempat berpolitik," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung kenyataan Guan Eng yang menggesa penganut Kristian supaya bersuara terhadap ketidakadilan.
"Saya tidak boleh beri sebarang komen berhubung perkara ini kerana tidak pasti apakah sebenarnya niat Guan Eng pada sesi dialog tersebut," katanya.
Sebelum itu, Petikan ucapan Guan Eng di hadapan pemimpin gereja
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penganut Kristian tidak harus berdiam diri walaupun merasakan mereka 'tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah'.
Bercakap di hadapan 300 pemimpin gereja, Guan Eng berkata, walaupun penganutnya bertanggungjawab di hadapan Tuhan, penting untuk mereka menyuarakan 'keadilan untuk semua' - slogan yang juga menjadi seruan pakatan pembangkang.
"Gereja boleh memainkan peranan (menentang ketidakadilan) untuk mewujudkan masyarakat yang lebih kuat," katanya dalam program dialog di negeri itu semalam.
Beliau berkata demikian seperti mana disiarkan dalam portal berita, Malaysiakini. Yang turut hadir, Exco negeri, Abdul Malik Abdul Kassim, Wong Hon Wai dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Pulau Pinang, Bishop Emeritus Antony Selvanayagam.
Dalam sesi dua jam itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diminta berkongsi cabaran yang dihadapi dalam menangani isu-isu berkaitan gereja sejak mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008.
Sementara itu penulis blog BigDogDotCom ketika mengulas berita tersebut mendakwa gesaan Guan Eng dalam majlis berkenaan berbaur politik dan tidak sesuai diucapkan memandangkan program terbabit berkait rapat dengan kelompok pemimpin agama.
"Sebagai Setiausaha Agung DAP, Guan Eng menggunakan platform majlis berkenaan untuk menyemai agenda politik pembangkang. Ringkasnya, DAP menggunakan gereja sebagai platform politik," katanya sebagaimana dipetik dalam bigdogdotcom.wordpress.com, hari ini.
Menurut beliau, sekiranya gesaan yang dilakukan oleh Guan Eng itu dibuat bukan atas platform majlis keagamaan atau perhimpunan pemimpin gereja, maka prasangka DAP tidak menggunakan gereja boleh dielakkan.
"Namun dipercayai Guan Eng sengaja membuat kenyataan ini dalam ucapan majlis tersebut, demi mengukuhkan bahawa DAP memang menggunakan platform gereja bagi tujuan politik mereka," ujarnya.
Beliau berkata, pembangkang sering mengambil kesempatan menyemai bibit-bibit politik, terutama 'politik kebencian' yang kini telah pun memperlihatkan bagaimana masyarakat Malaysia semakin berpecah dan tidak bersatu padu.
Ujarnya, adalah amat bahaya apabila pembangkang terus-menerus menggunakan platform rumah ibadat dan majlis keagamaan demi menyebarkan pengaruh politik mereka.
"Perkara seperti ini semestinya akan mengundang reaksi termasuk orang ramai, sekiranya tiada tindakan oleh pihak berkuasa.
"Guan Eng sebagai Ketua Menteri sepatutnya menggunakan peluang semasa bertemu pemimpin gereja untuk menyuburkan sikap kesefahaman dan toleransi antara kaum dan kepercayaan," katanya.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment