~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, April 10, 2012

Gerai diroboh MBSA: Pusat beri RM30,000 untuk 6 ibu tunggal!


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperuntukkan RM30,000 bagi menggantikan peralatan perniagaan milik enam orang ibu tunggal yang rosak selepas gerai mereka dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, bantuan peralatan itu diberikan agar kesemua ibu tunggal itu dapat kembali memulakan perniagaan.

Beliau berkata, ibu-ibu tunggal terlibat sememangnya telah dibantu oleh pihak kementerian melalui program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang mana kit atau peralatan untuk memulakan perniagaan telah diberikan kepada mereka.

"Oleh kerana peralatan-peralatan daripada 1Azam tersebut telah musnah, pihak kementerian akan menggantikannya dengan kos keseluruhan bernilai RM30,000.

"Selain bantuan peralatan, pihak Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan memberi bantuan sebanyak RM300 untuk sekali sahaja, kepada keenam-enam ibu tunggal terlibat," katanya kepada pemberita di pejabat JPW Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPW, Muhammad Firdaus Azizan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Nik Omar Nik Ab. Rahman.

Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya juga akan meminta kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar memanjangkan tempoh pembayaran balik hutang bagi empat daripada enam ibu tunggal terlibat bagi meringankan beban mereka yang kerugian akibat gerai dirobohkan.

"Sebagai salah sebuah agensi di bawah kementerian, saya berharap AIM tidak menuntut pembayaran daripada kesemua ibu tunggal yang terlibat. Selama ini pun mereka merupakan pembayar yang setia, harap beri penangguhan," katanya.

Tambahnya, beliau juga akan mengarahkan Pengarah JPW negeri untuk berurusan dengan MBSA bagi memastikan ibu-ibu tunggal yang kehilangan gerai dapat berniaga semula di mana-mana tapak yang sesuai.

Sementara itu, wakil ibu tunggal, Horyatuani Abdullah, 50, melahirkan rasa gembira dan lega kerana kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini memangku jawatan Menteri di kementerian sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan bantuan.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment