~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, June 27, 2011

Nik Aziz digesa solat istikharah!

Pemimpin Pas terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digesa melakukan solat sunat istikharah, bagi mencari hidayah Allah untuk melihat segala kebenaran membabitkan skandal seks seorang pemimpin pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana bukti utama iaitu rakaman video seks, telah disahkan tulen oleh dua pakar Amerika Syarikat, Prof. Hany Farid dan Prof. Lorenzo Torresani bahawa pelakunya 99.99 peratus menyerupai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, bukti alibi kononnya Anwar bersama keluarga dan sedang berinteraksi di laman sosial Twitter serta Facebook ketika aksi seks berlangsung juga satu pembohongan, kerana sistem kamera liter tertutup (CCTV) menunjukkan Anwar berada di lokasi kejadian.

“Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak? Sebelum ini mereka buat solat sunat pohon kebenaran dan kebenaran itu kini tersedia.

“Mereka juga elok tengok dulu video tersebut, betul Anwar atau tidak, menyerupai Anwar atau tidak? Kalau Anwar, mereka kena buat ketetapan. Jangan buat tuduhan sebelum tengok kebenaran video tersebut,” katanya kepada pemberita di Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin Pas dan golongan yang menyokong perjuangan parti itu, harus membuka hati serta minda mereka untuk menerima fakta, bukan semata-mata membuat pendirian berdasarkan persepsi jika bercita-cita mahu memimpin negara.

Mengenai penafian berterusan Anwar, bahawa lelaki yang 99.99 peratus itu bukan dirinya, Ahmad Zahid berkata, rakyat Malaysia perlu mengadili moral ketua pembangkang tersebut berdasarkan maklumat pakar selain bukti sahih berbentuk rakaman video dan CCTV.

Penang Wasabi

Wednesday, June 22, 2011

Dr Mohd Asri : BERSIH 2.0 wajib berjalan dengan bersih?




















Banyak pihak bertanya pendirian saya tentang kempen NGO 'BERSIH' menuntut Pilihanraya yang adil bagi negara ini. berikut adalah pendirian dan pandangan saya:

Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik.

Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.

Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan.

Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya.

Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.

Perkara haram

Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk.

Nabi Mohammad SAW dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan.

Hak rakyat

Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.

Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan.

Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan.

Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan.

Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai BERSIH merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan BERSIH itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas Mufti Perlis.

Penang Wasabi..

Monday, June 20, 2011

PAS bergolak - Golongan Ulama bertindakbalas di Kedah!


Mahfuz, Taib Azamuddin digugur

PAS Kedah merombak saf kepimpinan parti itu termasuk menggugurkan Timbalan Pesuruhjaya II, Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib daripada jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, DS Azizan Abdul Razak yang mengekalkan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, rombakan tersebut adalah sebagai persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal berlangsung pada bila-bila masa.

"Senarai baru itu diputuskan dalam mesyuarat khas Badan Perhubungan Pas Kedah yang bermesyuarat di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, kelmarin," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dengan Bank Islam Thailand di Seri Mentalon di sini, hari ini.

Azizan berkata, jawatan Mahfuz digantikan oleh Exco Kesihatan, Dr. Ismail Salleh manakala Taib Azamuddin digantikan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Md. Isa Shafie.

"Selain itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya I Negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata, jawatan Setiausaha PAS Kedah yang sebelum ini dipegang oleh Muhamad Yusuf Husin digantikan Pegawai Khas (Penerangan) Menteri Besar Kedah, Musoddak Ahmad.

"Bagi jawatan Bendahari yang sebelum ini dipegang oleh Exco Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul pula, diambil alih oleh Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

"Jawatan Ketua Penerangan PAS Kedah yang sebelum ini disandang Amiruddin pula diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohamad Sanusi Md. Nor," katanya.

Azizan memberitahu, bagaimanapun tiada perubahan jawatan bagi Ketua Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS dalam rombakan itu.

Menurutnya, Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah kekal diterajui oleh Ahmad Yahya manakala Exco Kebajikan dan Pembangunan Wanita, Siti Ashah Ghazali mengetuai Dewan Muslimat dan Sheikh Mohamad Abdullah memimpin Dewan Ulama Pas Kedah.

Penang Wasabi..

Wednesday, June 15, 2011

Mahu ikut telunjuk biaDAP?

Kalau tidak dibantah habis-habisan mungkin orang Melayu Pulau Pinang terpaksa melalui proses pembuangan undi macam pilihan raya untuk memilih anggota jawatankuasa masjid di negeri itu. Ini satu lagi idea daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang. Sebelum ini, DAP juga yang mencadangkan diadakan pilihan raya untuk memilih ketua kampung.

Idea pemilihan ketua kampung itu kemudian mendapat sokongan daripada kerajaan PKR Selangor.

Daripada satu sudut, memang proses pemilihan melalui pilihan raya itu nampak 'molek' sesuai dengan amalan demokrasi. Tetapi tidakkah ia menjurus kepada perpecahan dalam masyarakat apabila terbentuk kumpulan-kumpulan yang menyokong calon bertanding.

Dalam proses pilihan raya untuk memilih wakil rakyat pun, masyarakat yang menyokong parti politik masing-masing boleh bermasam muka dengan musuh partinya, inikan pula pemilihan AJK masjid. Silap langkah mungkin masjid akan hilang jemaahnya kerana kecewa.

Jangan kita dibuai dengan idea DAP hingga lupa apa agenda di sebaliknya.

Demokrasi satu hal, tetapi kesan selepas proses demokrasi itu perlu juga difikirkan. Mengapa DAP sibuk-sibuk untuk adakan pilihan raya ketua kampung dan AJK Masjid. Pas pula tumpang semangkuk untuk bantu melaksanakan cita-cita DAP.

Kenapa DAP tak cadangkan pilihan raya untuk memilih AJK tokong, kuil dan gereja. Apa kata masyarakat beragama Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain tentang unsur-unsur politik masuk dalam urusan rumah ibadat mereka.

Dulu, beberapa wakil rakyat DAP berjaya masuk ke dalam masjid. Sekarang parti itu hendak masuk campur tangan urusan pentadbiran masjid pula.

Jikalau boleh, DAP mahu pelantikan dalam semua sistem pentadbiran dipilih melalui pilihan raya. Jadi, usah terkejut kalau-kalau ada cadangan DAP supaya pemilihan ketua pegawai eksekutif (CEO) atau ketua pengarah di jabatan kerajaan diadakan melalui proses pilihan raya juga.

Untuk meletakkan seseorang di tempat mulia bagi memimpin dan diberi amanah bukan semua layak dan perlu melalui undi pilihan raya. Ada individu patut dipilih tanpa melalui pilihan raya.

Kualiti pimpinan individu berbeza. Ada yang boleh buat kerja tanpa menjual nama. Ada yang jual populariti tapi tak mampu berkhidmat. Sebenarnya pilihan raya adalah salah satu proses politik. Apabila unsur politik sudah masuk dalam urusan masjid maka mahu tidak mahu akan berlaku perpecahan.

Inilah yang DAP mahu supaya umat Islam Melayu berpecah hanya melalui satu pilihan raya masjid. Orang Melayu apabila berpecah dan bermusuh antara satu sama lain, bukan mudah untuk ditautkan semula.

Malah pilihan raya masjid akan membawa kariah sesebuah kawasan membentuk fahaman untuk merebut kuasa. Mana ada pilihan raya berlangsung tanpa kempen yang dalamnya penuh dengan unsur memburuk-burukkan pihak lain.

Buka mata, buka telinga, buka hati dan buka minda - patutkah Melayu ikut telunjuk DAP yang terang-terang menentang Negara Islam.
Wallahuallam.

Penang Wasabi..

Tuesday, June 7, 2011

Pilihan raya masjid agenda terbaru biaDAP untuk pecah belah orang Melayu!


Kerajaan biaDAP Pulau Pinang boleh berhujah atau memberikan apa sahaja alasan berhubung tindakannya memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kariah masjid di seluruh negeri itu menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya.

Tetapi apa yang nyata tindakan itu seolah-olah ingin menyeret institusi masjid ke dalam kancah politik kepartian. Walaupun alasan yang diberikan kononnya ia bertujuan bagi memastikan kaedah pemilihan adalah lebih telus, berbanding dengan tatacara pemilihan sedia ada semua itu hanyalah alasan.

Selama ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu, pemilihan AJK masjid bukan sahaja di Pulau Pinang malahan di seluruh negara tidak ada masalah tetapi kenapakah kerajaan DAP Pulau Pinang ingin memadai-madai mengajar orang Melayu bagaimana hendak memilih AJK tersebut?

Jelas apa yang dilakukan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah bermotif politik dan sengaja mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan orang Melayu di negeri tersebut.

DAP amat memahami bahawa orang Melayu sudah cukup banyak berpecah kerana pelbagai faktor khususnya politik dan kini ia mahu memperluaskan kepada pemilihan AJK masjid pula.

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh melenting apabila ada pihak menganggap ia sebenarnya satu agenda tersembunyi pihak tertentu yang mahu memporak-perandakan institusi masjid. Kalau tidak ada niat demikian kenapakah perlu secara tiba-tiba kaedah yang sedia ada hendak diubah apabila DAP berkuasa?

Tambahan pula, pelaksanaan pilihan raya masjid tersebut itu mahu diadakan secara tergesa-gesa tanpa perbincangan apatah lagi mengambil kira pandangan umat Islam di kawasan-kawasan yang terlibat.

Kita yakin jika ia dilaksanakan sudah pastilah banyak masalah yang akan timbul dan seterusnya akan mengakibatkan pengurusan masjid menjadi kacau bilau. Selama ini orang Melayu tidak pernah pun berbalah kerana pemilihan AJK masjid, mereka memilih sahaja siapa yang terpilih.

Apa yang kita bimbangkan, pilihan raya masjid ini bertujuan untuk membolehkan DAP melalui sekutunya, Pas menilai sejauh manakah sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan.

Ia kerana melalui pilihan raya itu mereka akan mengetahui kariah manakah yang memihak kepada kerajaan pakatan pembangkang dan kariah mana pula yang menyebelahi UMNO serta kerajaan Pusat.

Kita sama sekali tidak boleh menerima alasan bahawa pelaksanaan pilihan raya masjid itu bukan bertujuan politik kerana apa pun kerajaan DAP Pulau Pinang lakukan ia pasti ada kaitan dengan politik bagi mengekalkan kekuasaan pemerintahan.

Oleh itu apa yang diharapkan orang Melayu tidak akan terjebak dengan agenda mana-mana pihak untuk terus berusaha memecah-belahkan mereka. Orang Melayu Pulau Pinang perlu menolak pelaksanaan pilihan raya masjid itu kerana ia bukanlah urusan pihak lain untuk mengajar mereka bagaimana hendak menguruskan rumah Allah itu.

Bukanlah satu kesalahan kalau kariah di sesuatu kawasan tidak menghadiri pilihan raya itu, mereka tidak akan rugi apa-apa pun, sebaliknya mereka akan lebih rugi jika menghadiri kerana ini boleh menyebabkan orang Melayu berpecah belah kerana menyokong kelompok A atau kelompok B.

Tidak salah untuk orang Melayu berbeza fahaman politik tetapi biarlah ia sekadar di luar masjid sahaja kerana apabila memasuki sahaja ke rumah Allah itu, kita sujud kepada Tuhan yang satu dan mengadap kiblat yang sama.

Penang Wasabi..

Sunday, June 5, 2011

DAP adakan pilihan raya masjid!
















Kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan pemilihan jawatan kuasa masjid di seluruh negeri mulai tahun ini akan dijalankan melalui proses ‘pilihan raya’ - perkembangan yang dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Jika dilaksanakan sepenuhnya, ‘pilihan raya masjid’ itu yang dijangka bermula pertengahan bulan ini akan menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang pernah melaksanakan kaedah pemilihan seumpama itu.

Difahamkan, ketetapan baru itu dibuat dalam satu mesyuarat khas Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang dihadiri Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim baru-baru ini.

Bagaimanapun, persoalan timbul sama ada keputusan penting itu mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini atau sebaliknya.

Perkembangan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan banyak pihak yang melihat kaedah itu akan menyebabkan institusi masjid diresapi unsur-unsur kepartian sehingga mengundang perpecahan serius dalam kalangan kariah masjid.

Kaedah pemilihan itu terkandung dalam notis Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 yang diedarkan kepada kira-kira 4,000 jawatankuasa masjid seluruh negeri ini, baru-baru ini.

Mengikut tatacara tersebut, jawatan kuasa masjid diarah menjalankan mesyuarat agung khas antara 1 hingga 7 Jun 2011 dan mengedarkan borang-borang pencalonan termasuk bagi jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita.

Bagaimanapun, setiap nama calon yang dikemukakan akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah Jawatan kuasa Khas MAIPP yang berhak menerima atau menolak mana-mana pencalonan yang dianggap tidak layak.

Setiap calon yang bertanding kemudiannya diberi tempoh seminggu untuk ‘berkempen’ iaitu antara 10 hingga 17 Jun sebelum hari pengundian bermula 18 Jun yang akan dihadiri wakil MAIPP.

Sumber MAIPP memberitahu, cadangan pelaksanaan kaedah baru itu yang dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum ini mencetuskan percanggahan pendapat dalam MAIPP sendiri yang mahu ia dikaji kerana tidak mahu institusi masjid dicemar unsur kepartian.

Bagaimanapun, katanya, wujud tekanan daripada pihak tertentu yang mahu supaya kaedah baru dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

“Kaedah sedia ada mungkin boleh diperbaiki, tetapi pemilihan baru ini sebenarnya mengundang lebih banyak masalah malah akan menjadikan kariah lebih berpecah-belah. Lagi pula, kenapa mahu ia dibuat secara tergesa-gesa?

“Secara prinsipnya, memanglah ini adalah keputusan MAIPP, tetapi cadangan itu datang dari atas iaitu kerajaan negeri yang mahu ia dilaksanakan,” kata sumber itu di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria yang dihubungi mengesahkan keputusan melaksanakan kaedah pemilihan baru tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

“Di peringkat ini, tidak perlulah saya komen. Lebih baik anda hubungi Yang Berhormat Exco Abdul Malik untuk mendapat butiran,” katanya.-UM.

Penang Wasabi..