Sikap sombong ditunjukkan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng kerana merendah-rendahkan kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat tidak wajar dan bakal meretakkan lagi hubungan dalam pakatan pembangkang.
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, Guan Eng tidak sewajarnya mengarahkan Abdul Hadi berikutan kedudukan pemimpin tertinggi setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah setara.
“Macam dia (Guan Eng) pula bos, mengarah-arahkan orang macam murid sekolah. Dia kena ingat, pemimpin-pemimpin pakatan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Jangan kerana dia Ketua Menteri Pulau Pinang, dia ingat dia sudah besar.
“Nasihat saya (kepada Guan Eng) adalah jangan merendah-rendahkan orang lain, jangan sombong, kurangkan sifat takbur dan besar diri supaya parti-parti dalam pakatan dapat berjalan seiring,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menempelak Guan Eng yang mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat kepimpinan pakatan pembangkang dengan menegaskan beliau bukan budak sekolah untuk menurut arahan pemimpin DAP itu.
Reaksi Presiden Pas itu ekoran peringatan Guan Eng kelmarin bahawa mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung Ahad ini tidak akan diteruskan jika Abdul Hadi tidak hadir.
Mahfodz Mohamad
Menurut Mahfodz, kenyataan sombong Guan Eng memperlakukan Abdul Hadi seolah-olah ‘budak sekolah’ dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku antara pemimpin dalam pakatan pembangkang.
Katanya, dalam isu kehadiran mesyuarat kepimpinan pakatan pembangkang, perkara itu sudah mencukupi dengan surat jemputan dihantar kepada Presiden Pas dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
“Mereka juga ada kata kalau hendak menang Putrajaya, Pas jangan fikirkan tentang hudud. Kalau kita menang sekalipun tetapi kita tidak dapat laksanakan hudud, bagi saya itu adalah melampau,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, peringatan Abdul Hadi itu bersesuaian kerana sejak akhir-akhir ini, Guan Eng bersikap tidak berakhlak dan sering kali merendah-rendahkan kedudukan Pas.
“Ingatan keras pada orang yang keras, ingatan yang lunak kepada orang yang lunak, akhir-akhir ini Guan Eng agak keras dan tidak berakhlak, jadi jawapan yang keras perlu diberikan,” katanya,
Katanya, pakatan pembangkang merupakan persefahaman antara tiga parti berbeza dan tiada mana-mana pihak yang mempunyai kedudukan lebih tinggi dalam pakatan itu.
“Dalam menentukan kehadiran, perlu ada perbincangan, tidak perlu ada mana-mana pihak yang cuba menunjukkan kuasa mereka memaksa mana-mana pihak untuk hadir, itu keadaan yang tidak baik untuk persefahaman dalam pakatan,” katanya.