Nurul IZZAH ANWAR bersama Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim ketika hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
Suami Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini enggan menceraikan wanita itu kerana masih menyayanginya dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, berkata, dia masih menyayangi perkahwinan tersebut terutama dua anak mereka yang masih kecil.
Dia yang kelihatan sugul tetapi tenang berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah di sini setelah selesai prosiding sebutan kes cerai mereka di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ab. Malek Awang.
Sementara itu, peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar memberitahu, dalam prosiding yang berlangsung dalam kamar hakim itu, Ab. Malek telah mensabitkan wujudnya Shiqaq (perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan) berdasarkan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Justeru katanya, Ab. Malek telah menasihatkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar untuk melafazkan cerai namun anak guamnya enggan berbuat demikian atas alasan masih menyayangi isterinya dan perkahwinan tersebut.
Walau bagaimanapun pihaknya telah membuat bantahan terhadap kandungan laporan JKP yang disifatkan terlalu ringkas dan banyak fakta serta maklum balas daripada pihaknya tidak dinyatakan dalam laporan itu.
“Banyak perkara yang dibincangkan semasa rundingan dengan JKP tidak dinyatakan dalam laporan ini malah masalah mengenai perkahwinan tidak dinyatakan secara terperinci, hanya satu perenggan, justeru anak guam saya telah memasukkan bantahan hari ini,’’ katanya.
Pada prosiding yang berlangsung selama 40 minit itu Azmi turut memohon agar diadakan JKP yang baharu namun permohonan itu dibantah oleh peguam syarie, Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah, selaku plaintif.
Mahkamah membenarkan bantahan Normawaddah dan menetapkan 8 Disember ini untuk pelantikan Hakam iaitu setiap seorang mewakili pihak suami dan isteri terlibat setelah JKP gagal menyelesaikan krisis yang dihadapi pasangan itu.
Namun Hakam diberi kuasa penuh untuk membuat keputusan sama ada untuk melafazkan talak atau menerima tebus talak jika ia merupakan wakil bagi suami manakala wakil bagi isteri berkuasa untuk menerima talak dan membayar tebus talak.
Sementara itu, Nurul Izzah, 34, enggan mengulas mengenai prosiding yang berlangsung hari ini dan seperti lazimnya hanya menyebut ‘Thank you for respecting my privacy’ (terima kasih kerana menghormati privasi saya) kepada para pemberita.
Apabila ditanya mengenai perkembangan rayuan akhir bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan hari ini, beliau hanya berkata, ‘No...no...why don’t you go to Putrajaya and ask’ (Kenapa kamu tidak pergi ke Putrajaya dan tanya).
Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir Iskandar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Pasangan yang telah berkahwin selama 11 tahun iaitu sejak 9 Mei 2003, dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5.
Penang Wasabi..