~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Sunday, July 27, 2014
Anwar digesa berhenti rosakkan Selangor - Ezam?
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim digesa berhenti merosakkan kerajaan negeri Selangor sedia ada apabila berusaha menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Ezam Mohd. Noor berkata, beliau hairan masih ada yang percaya dan menyokong tindakan Anwar itu yang disifatkannya sebagai politik gila kuasa dan luar tabii.
Berikut adalah kenyataan penuh Ezam:
* Sebagai Pengasas PKR Selangor pada 1999, saya telah jangkakan saat kegawatan ini akan berlaku dan membuat keputusan tepat bersama-sama rakan seperjuangan untuk tinggalkan Anwar dan PKR lebih tujuh tahun lalu.
* Semua ini berpunca daripada politik gila kuasa dan luar tabii Anwar yang berpolitik semata-mata untuk kuasa bagi dirinya dan sanggup menggadaikan apa sahaja bagi mencapai matlamat itu.
* Justeru, saya tidak hairan kerenah gila kuasa dan luar tabii politik Anwar hari ini, cuma sedikit hairan mengapa ada lagi yang masih percaya dan menyokongnya kerana sebelum episod Selangor ini pun sudah banyak kerenah politik gila Anwar yang menggadai segala-galanya iaitu agama, bangsa, negara dan hari ini negeri Selangor.
* Sebagai anak jati Selangor dan juga bertanggungjawab membina PKR Selangor, saya sarankan semua yang masih bersama Anwar untuk tinggalkan dia dan politik gilanya ini.
* Saya juga ingin memberi amaran kepada Anwar, sebagai anak jati Selangor, saya dan rakan-rakan tidak akan benarkan dan akan menentang habis-habisan politik gila kuasa dan luar tabii ini dibawa masuk dan merosakkan Selangor negeri berdaulat yang selama ini kukuh dengan institusi raja, agama dan rakyatnya.
* Selepas hari raya ini, sebagai pengasas perjuangan reformasi dan PKR di Selangor, saya akan memanggil semua bekas pejuang yang pernah bersama dengan Anwar di negeri Selangor dan bersiap sedia untuk menentang habis-habisan perosak nombor satu negara ini.
Penang Wasabi..
Wednesday, July 23, 2014
MH17: Najib akhirnya jadi 'hero Malaya'!
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bukanlah pemimpin paling popular di kalangan rakyat. Biarpun memegang tampuk kepimpinan negara, tetapi semua orang tahu yang Najib mempunyai satu golongan pemerhati yang hanya menanti masa untuk menghentam beliau. Kontroversi yang memalit beliau dan cara kepimpinannya, biarpun tiada kesahihannya, menjadikan Najib mangsa provokasi dan kritikan mereka yang tidak berpuas hati dengan beliau.
Ketika Malaysia dilanda bencana kehilangan pesawat MH370 4 bulan lepas, sekali lagi Najib menjadi mangsa penilaian masyarakat. Beliau dikritik lepas tangan apabila kelibatnya jarang dilihat dalam sidang akhbar, malah beliau dilihat tidak mempunyai idea proaktif untuk sekurang-kurangnya berhadapan dengan kritikan masyarakat dunia. Kenyataan "pesawat berakhir di Lautan Hindi" langsung tak membantu.
Kredibiliti Najib semakin dipersoal. Malah ketika sebuah feri penumpang tenggelam di Korea, Najib juga menjadi mangsa. Ramai yang mengeluarkan kata-kata seperti "Feri karam, Presiden Korea letak jawatan. PM kita masih relax, siap boleh selfie dengan Obama".
Tragedi MH17 memberi signifikan penting dalam suasana konflik politik antarabangsa. Tetapi di Malaysia, salah satu hikmah yang boleh dilihat adalah populariti Najib sebagai PM naik mendadak. Dan ia berlaku atas sebab yang munasabah.
Tatkala pemimpin kuasa dunia yang lain menyalahkan Russia dan presidennya, Vladimir Putin, Malaysia melalui Najib, mengambil pendekatan neutral. Biarpun kebanyakan mangsa bukan warga Malaysia, namun Malaysia punya hak paling besar untuk 'mengamuk', kerana pesawat tersebut milik Malaysia, kerugian dan reputasi buruk terpaksa ditanggung negara kita. Tetapi bukan itu yang berlaku.
Mungkin juga kerana sedar betapa kerdil Malaysia di mata sebuah negara seperti Russia, lantas Malaysia dilihat ramai seolah-olah mengunci mulut. Suara-suara pemimpin dunia mula kedengaran, menyelar Putin dan Russia agar memberi kerjasama. Dan suara Malaysia, akhirnya kedengaran di celah-celah keriuhan itu.
Bukan sebagai major voice, tetapi ianya jauh lebih meyakinkan dan hasilnya, kumpulan pemberontak setuju menyerahkan kotak hitam kepada Malaysia. Hanya kepada Malaysia dan tidak kepada negara lain. Malah pasukan penyiasat yang sebelum ini diberikan ruang yang terhad untuk melakukan siasatan, mula diberi kebebasan untuk meneruskan kerja-kerja siasatan.
Ia terjadi selepas Najib sendiri menghubungi dan berbincang dengan pemimpin puak pemisah Ukraine, Alexander Borodai.
Najib membuktikan lebih baik jadi ubi yang berisi, daripada jadi besi yang kukuh tetapi berkarat.
Akhbar New York Times sendiri memuji cara Najib sebagai 'silent diplomatic' yang disifatkan sebagai sangat berkesan. Pemimpin pembangkang juga tidak ketinggalan meluahkan kekaguman dengan tindakan yang diambil Najib.
Bukan senang nak dapat approval rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia memang terkenal sebagai golongan manusia yang kritikal. Pantang silap sikit, bersedialah untuk tadah telinga dan makan maki hamun rakyat.
Secara peribadi, penulis percaya kejayaan Perdana Menteri memujuk puak pemisah tidak berlaku dalam masa semalaman. Ini adalah hasil keberkesanan hubungan diplomatik dan antarabangsa yang diamalkan Malaysia sejak hampir 60 tahun yang lalu. Ia dibina dengan reputasi yang kukuh, seperti penglibatan Malaysia dalam membantu krisis negara-negara luar seperti Palestin, Kemboja dan Bosnia. Keaktifan Malaysia dalam organisasi seperti NAM (Non Aligned Movement) dan usaha Malaysia dalam memastikan hubungan baik dengan Russia, AS dan China kini menampakkan hasil. Dan terbaru, prinsip neutralisasi Malaysia dalam menangani isu MH17, membawa keyakinan kepada pihak pemberontak betapa Malaysia boleh dipercayai.
Kini, dengan reputasi yang meningkat, rakyat sedang memerhati dengan teliti setiap tindak tanduk Najib selepas ini. Expectation is high, dan rakyat tentu mahu melihat beliau mampu mengambil langkah yang lebih baik dalam menangani isu politik tempatan. Dan kali ini, beliau perlu konsisten kerana seperti yang telah disebutkan tadi, Malaysians can be very hard to impress.
Ini tanggungjawab baru yang perlu dilangsaikan Najib, jika mahu terus jadi hero di hati rakyat Malaysia.
Penang Wasabi..
Sunday, July 20, 2014
#MH17: PM Belanda beri amaran kepada Putin?
Presiden Rusia Vladimir Putin mempunyai satu peluang terakhir untuk menunjukkan beliau serius mahu membantu penyelamat mencari mayat-mayat mangsa kemalangan pesawat penerbangan MH17, kata Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Sabtu lepas.
Lebih daripada separuh penumpang di atas kapal yang terhempas berhampiran sebuah kampung di timur Ukraine, adalah rakyat Belanda, dan gambar-gambar barangan peribadi dan pasport bertaburan, dikenalpasti milik penumpang Belanda digeledah di lokasi kemalangan telah mengejutkan rakyat Belanda.
“Saya terkejut dengan gambar-gambar yang menunjukkan kelakuan yang benar-benar ‘tidak menghormati’ di kawasan tragis ini.
Ia memualkan,” kata Mark Rutte, merujuk kepada dakwaan bahawa mayat-mayat penumpang dibiarkan bergelimpangan dan sesetengahnya sudah mula reput.
Penang Wasabi..
Saturday, July 19, 2014
#MH17: Bendera seluruh dunia berkibar separa tiang
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah putuskan untuk kibarkan bendera jalur gemilang separuh tiang bermula malam tadi sehingga hari Isnin.
Perkara tersebut dikemukakan semasa sidang media semalam berikut negara berkabung susulan nahas yang mengorbankan penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia MH17 di timur Ukraine.
Negara lain turut sama mengibarkan bendera mereka separuh tiang sebagai tanda penghormatan, misalnya UK, Belanda dan Australia.
Penang Wasabi..
Thursday, July 17, 2014
Ziana Zain: Allah SWT Kurniakan Saya Hadiah Paling Bermakna!
Kenapa Ramadan sentiasa dinanti, kerana Allah SWT menjanjikan bulan ini sebagai bulan untuk umatnya melipat ganda akan amalan dan beribadah untuk ganjaran pahala yang juga tidak terhingga banyaknya.
Tetapi buat penyanyi Ziana Zain, Ramadan kali ini antara yang paling bererti bila dia menerima kurniaan yang amat bernilai daripada Allah SWT. Pada hari turunnya Al Quran ke dunia, Ziana pula terima sebuah hadiah istimewa serta ia menandakan kejayaan buat semua yang mendoakan kesejahteraan penyanyi pujaan ramai ini.
Beberapa kali cerita mengenai Ziana Zain mula mengubah penampilannya terbit ditajuk utama media massa seluruh negara baru-baru ini. Namun tuan empunya badan belum lagi mengesahkan sendiri hinggalah pada hari ini 15 Julai bersamaan 17 Ramadan iaitu hari Nuzul al-Quran, diva pujaan ramai itu mengakui penampilannya di rakaman MeleTOP Raya merupakan imej baru buat Ziana Zain.
Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, tenang bercerita mengenai hijrahnya pada Ramadan ini adalah sebuah hadiah kemenangan dan juga kurniaan yang amat besar buat dirinya. Bagi dirinya, ia adalah berkat dan doa dari insan yang menyayanginya selama ini telah dimakbulkan Allah SWT.
“Ini adalah hadiah yang Allah SWT berikan kepada saya, sebuah ganjaran yang dijanjikan setelah tidak putus-putus doa daripada peminat, kawan-kawan dan yang paling termakbul adalah doa kedua ibu bapa saya.
“Allah SWT telah berikan apa yang mereka semua pohon, sementara itu juga dibukakan pintu hati saya menerima syariat agama ini. Setelah beberapa tahun saya memasang niat, akhirnya hari yang dinanti sudah tiba. Perasaan yang datang itu bukan rasa yang biasa tetapi kuasa yang luar biasa.
“Tiada pengumuman yang nak dibuat kerana yang penting apa yang dituntut(berhijab) saya telah cuba penuhi bermula dari Ramadan ini dan harapan saya biarlah ia kekal ke akhir hayat. Tiada apa yang lebih bermakna dari apa yang Allah SWT kurniakan kepada saya sekarang, Alhamdulillah,”tutur Ziana yang tidak lekang memanjatkan syukur kerana diberikan peluang yang begitu berharga di bulan mulia ini.
Ditanya tentang karier seninya, Ziana masih aktif seperti biasa cuma penampilannya kini akan cuba dijaga sebaiknya. Tambahan pula sokongan daripada keluarga terutama anak-anak akan mempermudahkan hari-hari yang bakal dilaluinya nanti berserta sokongan yang tidak berbelah bagi daripada peminatnya.
Penampilan istimewa penyanyi lagu Korban Cinta ini adalah bersempena dengan rakaman khas MeleTOP Raya untuk siaran Aidilfitri ini di Astro. Memilih ilham rekaan pereka yang sinonim dengan nama penyanyi ini, Rizman Ruzaini telah menyiapkan persalinan indah lengkap berhijab khas untuk imej terbaru Ziana Zain itu.
Penang Wasabi..
Saturday, July 12, 2014
Rafizi punca kemelut PKR?
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sewajarnya dipecat daripada parti itu kerana melaksanakan 'Langkah Kajang' yang menjadi punca perbalahan dan kemelut dalaman PKR.
Ahli PKR cabang Subang, Mohd. Shahril Panjang Rani berkata, Langkah Kajang telah mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara pengikut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
"Kita meminta Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk memecat Rafizi dari jawatan Pengarah Strategi dan ambil tindakan disiplin terhadap beliau.
"Strategi Rafizi hanya merosakkan imej dan perpaduan dalam parti, Rafizi wajar dihukum kerana telah merosakkan parti dengan strategi putar belit beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shahril, Langkah Kajang yang dicipta oleh Rafizi bersama Abdul Rahim Ghouse merupakan bencana politik kepada PKR dan pengkhianatan terhadap parti.
"Kita mahu Datin Seri Wan Azizah, selaku Presiden PKR dengar dan bertindak atas suara akar umbi parti PKR, jangan pula mahu pecat ahli-ahli yang bersuara untuk selamatkan parti.
"Kita semua sayangkan parti, jangan pecat kita jika bercakap benar, jika mahu pecat ahli-ahli yang bersuara demi untuk kebaikan parti, maka di mana keadilan yang diuar-uarkan," katanya.
Penang Wasabi..
Monday, July 7, 2014
Awie: Masyarakat Sudah Lali Saya 'Jahat', Tapi Jangan Adili Tanpa Kepastian?
Di sebalik dakwaan dia telah membelasah isterinya dengan teruk sehingga didakwa di mahkamah, vokalis Wings, Azhar Othman atau Awie, 46, beranggapan bahawa apa yang berlaku semua ini adalah satu hikmah daripada Allah SWT.
"Hikmah kejadian ini sebenarnya hanyalah untuk mereka yang terpilih saja..terpilih olehNYA. Mungkin sudah terlalu banyak orang beranggapan buruk pada saya tetapi mungkin tidak di mataNYA.
"Alhamdulillah, benda ini terjadi pada diri saya dan bukan pada diri keluarga isteri saya. Masyarakat mungkin sudah lali dengan anggapan jahat terhadap diri saya tetapi bukan terhadap keluarga isteri saya.
"Kalau kena kepada keluarga isteri saya, mungkin mereka tidak boleh tahan dan tidak boleh terima keadaan ini. Tetapi, ianya berlaku ke atas diri saya.
"Alhamdulillah...eh boleh saya sebut ke saya sebut Alhamdulillah, nanti ada yang marah? Tuduhan dibuat oleh isteri saya, saya terima tetapi mahkamah yang akan menentukan segalanya.
"Jangan adili manusia selagi tiada kepastian yang nyata dan cerita yang sebenarnya. Insya Allah, kita sama-sama tunggu dan lihat.
"Berjayanya lelaki, pasti ada seorag wanita dibelakangnya. Kalau saya sekarang ini nak dikategorikan apa? Wallahualam....,"katanya kepada Studio H.
Sumber: Pengakuan Eksklusif Awie kepada Studio H
Penang Wasabi...
Friday, July 4, 2014
Inikah gadis pilihan TMJ?
Baru-baru ini heboh media sosial Facebook dengan tersebarnya gambar seorang gadis yang dikatakan calon isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurut Berita Harian, gadis misteri yang bernama Cik Khaleeda Bustaman ini dikatakan berasal dari Gombak, Selangor.
Tunku Ismail, 30, dikatakan mula berkenalan dengan Cik Khaleeda, berusia 20-an sejak tahun lalu.
Tunku Ismail dikatakan pernah membawa Cik Khaleeda yang masih menuntut di sebuah universiti, dalam majlis rasmi yang turut dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Bagaimanapun Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang dihubungi Berita Harian mengenai perkara itu enggan mengulas dan meminta menunggu pengumuman rasmi.
Penang Wasabi..
Wednesday, July 2, 2014
Neelofa : Tiada Siapa Paksa Saya Untuk Berhijab!
Pengacara dan pelakon, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 25, akui tiada siapa mempengaruhinya dalam membuat keputusan untuk berhijab dan berhijrah, sebaliknya, Neelofa berkata ianya satu penghijrahan yang ikhlas dari hatinya.
“Alhamdulillah akhirnya apa yang saya inginkan selama ini dapat juga direalisasikan dengan sempurna. Walaupun pernah ragu-ragu tetapi inilah yang saya inginkan dan bersyukur ruang itu diberikan dengan baik untuk saya berhijrah dan bertudung.
“Tiada sesiapa pun yang paksa atau mencadangkan saya supaya bertudung tapi memang saya sendiri dah lama fikirkan tentang perkara ini.
“Penghijrahan ini ikhlas dan saya lakukan dengan rela hati. Mengapa saya mengambil keputusan ini biarlah saya sahaja yang tahu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai imej terbarunya kepada Astro Gempak.
Menurut pengacara program MeleTop itu lagi, dia mula berhijab pada hari kedua Ramadan dan nekad bertudung selepas sekian lama mencari jawapan untuk perubahan diri yang lebih baik.
“Insya-Allah ini adalah diri saya sekarang dan Neelofa yang baru. Saya berharap dan yakin peminat akan menerima saya seadanya, malah mereka adalah pembakar semangat saya.
“Saya juga berharap agar masyarakat di luar sana terus mendoakan dan menyokong saya. Kepada yang sentiasa memberikan sokongan, terima kasih dan saya menghargainya,” ujarnya.
Jurucakap beberapa produk dan pengurus rangkaian perniagaan sendiri ini juga turut mengakui ada menghadiri kelas agama dan majlis ilmu untuk memperbaiki diri.
Penang Wasabi...
Subscribe to:
Posts (Atom)