~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, February 18, 2014

Waytha: Letak jawatan sebab PM khianat India?


Seminggu selepas meletakkan jawatannya sebagai senator dan timbalan menteri, pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) P Waythamoorthy muncul kali pertama dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pembohong dan khianat kepada komuniti India.

Dalam sidang medianya selama 20 minit hari ini, Waythamoorthy turut menggesa Najib supaya meletakkan jawatan yang dipegangnya kerana tindakan itu.

"Tindakan itu tidak akan dilupakan oleh generasi akan datang. Kisah ini akan diulang cerita berkali-kali," bidas Waythamoorthy.

Muncul dalam keadaan lesu dan letih, beliau enggan mengambil soalan daripada pemberita yang sesak dalam satu bilik dalam majlis di Brickfields.

Beliau juga meninggalkan sidang media dengan tergesa-gesa selepas membuat kenyataannya.

Pada Isnin lalu Waythamoorthy menyerahkan surat peletakan jawatan, lapan bulan selepas dia menandatangani memorandum kontroversi persefahaman (MoU) dengan BN beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-13.

Penang Wasabi..

Sunday, February 16, 2014

MCA nasihatkan Anwar cermin diri dahulu?

Liow Tiong Lai (depan empat dari kiri), Wee Ka Siong (depan empat dari kanan) dan Khairy Jamaluddin berganding bahu bersama jentera MCA pada pelancaran Bilik Gerakan Induk MCA Pilihan Raya Kecil N25 Dewan Undangan Negeri Kajang di Taman Berjaya, Kajang, Selangor, semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum berbicara tentang perjuangan masyarakat Cina di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu bertanya kepada dirinya apakah sumbangan beliau terhadap pendidikan kaum Cina ketika berada dalam kerajaan.

"Sudah menjadi lumrah politik Anwar untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada UMNO. Biarpun perkara itu salahnya, namun UMNO juga yang menjadi mangsa. Padahal dialah punca timbul semua masalah ketika ini.

"Kali ini dia kata MCA jangan jadi hamba kepada UMNO dalam perjuangan orang Cina? Sejak bila dia begitu mengambil tahu soal perjuangan orang Cina?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Induk MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Taman Berjaya, Kajang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pengundi DUN Kajang perlu menolak pakatan pembangkang yang sentiasa berpura-pura memperjuangkan hak rakyat.

"Lihat sajalah Anwar ketika duduk dalam Kabinet, tiada satupun jasanya kepada kaum Cina. Tiada rekod langsung malah berani saya katakan kosong," katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang MCA untuk menang pada PRK DUN Kajang, Tiong Lai menjelaskan, beliau berharap penduduk dapat memberi peluang kepada MCA untuk menjadi wakil rakyat.

Penang Wasabi..

Monday, February 10, 2014

Pasangan Islam Malaysia kena buli di Sweden...!!! Didakwa kerana pukul anak?


Pasangan Malaysia didakwa secara berasingan di Mahkamah Daerah Stockholm, Sweden hari ini atas pertuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.

Pendakwa Raya Anne Arnelle dalam satu kenyataan berkata, Shalwati Norshal dan suaminya Azizul Raheem Awalludin dituduh mengasari anak-anak mereka dari 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013, di kediaman mereka di Sweden.

Perbicaraan kes pasangan itu ditetapkan bermula pada 18 Februari ini dan dijangka mengambil masa 10 hari.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan terkini pasangan itu.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dan suaminya Azizul Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia di Sweden telah ditahan reman semenjak 18 Disember tahun lalu atas tuduhan memukul tangan seorang daripada anak lelakinya kerana tidak bersolat.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7 yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lalu.

Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Januari lalu dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Penang Wasabi..

Sunday, February 9, 2014

Isu PKNS: Khalid tidak senang 'nasihat' Anwar?


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah tidak senang dengan 'nasihat' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim supaya beliau dan Azmin Ali berhenti berbalah secara terbuka berhubung pemecatan 23 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) pada 4 Februari lalu.

Malah Abdul Khalid sekali lagi dilihat cuba mempertahankan perbuatannya (mengkritik Azmin) itu dengan mendakwa tindakannya memecat kakitangan terbabit adalah sah dan mengikut prosedur ditetapkan.

"Tidak. Kami (Abdul Khalid dan Azmin) tidak sedemikian. Tiada langsung perbalahan di antara kami dalam isu PKNS. Semua pihak perlu faham undang-undang. Enakmen PKNS adalah di bawah (bidang kuasa) Exco.

"Apa-apa pun, kalau pihak lain nak masuk campur, mesti melalui Exco (terlebih dahulu)," katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini hari ini.

Penang Wasabi..

Saturday, February 8, 2014

SITKOM 88 KOPITIAM KENA "GAM " SEMENTARA RTM SEBAB PELAKON KLIP VIDEO TERESA KOK?


Tindakan RTM wajar dipuji kerana GAM sementara rancangan sitkom 88 Kopitiam disebabkan dakwaan pelakonnya terbabit dalam klip video Teresa Kok yang menghina & mencemar imej negara.

Sitkom 88 Kopitiam yang bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dihentikan sementara bagi menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan pelakonnya dalam klip video yang dikatakan mencemar imej negara.

Ketua Pengarah Penyiaran Norhyati Ismail berkata RTM akan memanggil penerbit rancangan berkenaan dalam masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut.

“Ini untuk memastikan tiada sebarang pihak teraniaya atau dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas dakwaan yang mengaitkan pelakon sitkom berkenaan dengan video yang mencemar imej negara.

Video yang disiarkan melalui media sosial sempena Tahun Baharu Cina itu membabitkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.



Sitkom 88 Kopitiam disiarkan menerusi TV2 pada setiap Isnin, pukul 7 malam dan mengetengahkan isi-isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina berlatarkan kopitiam dengan konsep komedi bersahaja.

Norhyati berkata RTM akan mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburuk-burukkan nama dan imej negara.

RTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelakon yang terlibat dengan penerbitan program sedemikian, katanya.

Penang Wasabi..

Thursday, February 6, 2014

Anwar perlu jelaskan konsensus nasional?


Anwar Ibrahim wajar menjelaskan format dan konsep sebenar konsensus nasional kepada rakyat sebelum Pilihanraya Kecil Dun Kajang berlangsung. Ini bertujuan untuk memberikan gambaran sebenar mengenai persepsi tersebut dan mengelakkan pelbagai tafsiran yang boleh disalahertikan.

Samada ia Permuafakatan Kebangsaan, Muzakarah Politik, Dialog Nasional mahupun Kerajaan Campuran atau Perpaduan, ia harus dihuraikan secara eksplisit. Jika benar ia adalah agenda besar daripada Pakatan Rakyat, maka Anwar Ibrahim perlu menghuraikannya dengan lebih jelas.

Daripada siri-siri kenyataan media yang telah dibuat, konsensus nasional diutarakan ekoran daripada kebejatan politik terutamanya yang melibatkan isu ketegangan kaum khususnya di negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Malah, media antarabangsa turut melaporkan kelemahan pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pelbagai aspek.

Oleh yang demikian, Najib sendiri telah bersetuju untuk membataskan topik perbincangan kepada segmen sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa. Namun, empat segmen ini seolah-olah tidak mendapat persetujuan penuh. Maka, di mana titik fokalnya?

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, para pendokong serta penyokong wajar memahami dan meneliti apakah sebenarnya maksud sebenar Konsensus Nasional. Kita percaya jika ia dilontarkan lebih awal untuk mendapat pandangan awam, maka perkara ini dapat dimatangkan dengan lebih baik lagi.

Dilihat beberapa langkah strategi politik dan idea-idea besar oleh rakan PR yang agak pelik dan kurang disenangi rakyat seperti kes Kajang dan konsensus nasional memerlukan kesepakatan dan dibincangkan secara telus di peringkat PR.

Dalam hubungan antara BN dan PR yang dilihat terlalu politiking dan penuh tipu muslihat politik, sudah pasti agenda bersama seperti lontaran idea konsensus nasional yang boleh meredakan suhu politik dan disenangi rakyat haruslah menjadi satu gerakan yang benar dan amanah, bukan sekadar projek politik yang kelak akan memeningkan rakyat.

Penang Wasabi..

Sunday, February 2, 2014

Kuasa mutlak Sultan Selangor?


Pencalonan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.

Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah menerangkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata, kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

''Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa,'' katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini, baru-baru ini.

Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama," katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi di mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik Menteri Besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

"Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain," katanya.

Namun, Mohd Noor berkata, calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti Pas atau PKR.

Dalam situasi sekarang, Mohd Noor berkata, DUN Selangor sudah bersidang dan katakan Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu, maka boleh diusulkan di dewan, beliau dicalonkan jadi Menteri Besar.

"Menteri Besar sedia ada (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjadi MB atas perkenan Sultan untuk lima tahun. Kalau beliau hendak meletak jawatan sebelum lima tahun, beliau boleh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan.

"Sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan, maka adakan usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai Menteri Besar dan (jika )usul (itu) menang, beliau kalah. Maka, beliau kena lepaskan jawatan," terang Mohd Noor.

Katanya, selepas melantik Menteri Besar, Sultan juga diperuntukkan kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri berdasarkan cadangan menteri besar.

Kepada persoalan sekiranya keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar nanti berpihak kepada kerajaan, adakah ia akan menjejaskan peluang Anwar untuk bertanding, Mohd Noor berkata, ia tidak terjejas kerana Anwar masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"(Namun), sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan tuduhan itu adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjayanya sebagai ahli politik atau profesion yang lain akan berakhir," jelasnya. - BERNAMA

Penang Wasabi..