~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, October 28, 2012

Undi PKR sebenarnya kukuhkan DAP?


Walaupun di kalangan pemimpin pakatan pembangkang mereka kelihatan mesra tetapi hakikatnya pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tidak pernah mempedulikan perasaan Pas kerana mereka tahu Pas dalam kebanyakan hal tidak mampu berbuat apa-apa.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan atas dasar demi memperjuangkan nasib seorang pemimpinnya telah mencapai kejayaan agak cemerlang. Parti itu yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim 'berjaya' menewaskan dua parti pembangkang lain iaitu DAP dan Pas apabila memperolehi 31 kerusi.

Ketika itu DAP memperolehi 28 kerusi manakala Pas 23 kerusi. Bagaimanapun jumlah kerusi yang diperolehi oleh PKR berkurangan apabila ramai ahli Parlimennya membuat keputusan meninggalkan parti itu menjadi wakil rakyat Bebas.

PKR mampu berdiri tegak dan mendabik dada menjadi sebuah parti yang paling berkuasa di kalangan pakatan pembangkang kerana keupayaan mereka merampas kerusi di kawasan-kawasan yang sebelum ini diwakili oleh UMNO.

Mengikut keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 terdapat kira-kira 15 kerusi milik UMNO yang berjaya dirampas PKR. Kejayaan PKR itu juga dianggap kejayaan bagi DAP dalam usaha mengurangkan kekuatan UMNO di dalam Dewan Rakyat.

Sebab itulah DAP tidak pernah ambil pusing mengenai kekuatan PKR kerana mereka memahami PKR berbeza dengan Pas. PKR tidak memperjuangkan Islam dan sentiasa sahaja menyokong apa juga yang dilakukan oleh DAP termasuklah dalam soal hak-hak orang Melayu.

Aspirasi

Sikap pemimpin-pemimpin PKR yang memperjuangkan kesamarataan dilihat tidak ada bezanya dengan perjuangan Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh DAP. Oleh itu DAP tidak perlu gusar tentang jumlah kerusi mereka dalam Dewan Rakyat kerana PKR biar pun berada dalam parti berbeza tetapi membawa aspirasi parti tersebut.

Inilah agenda yang tidak disedari oleh pengundi-pengundi Melayu yang bertindak menolak UMNO dalam pilihan raya umum lalu dengan memberikan kerusi parti tersebut kepada PKR. Mereka begitu yakin tiada bezanya antara wakil rakyat PKR dan UMNO kerana kononnya kedua-duanya akan memperjuangkan nasib Melayu.


Bagaimanapun mereka terlupa bahawa perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR tidak boleh disamakan dengan perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin UMNO sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal melibatkan orang Melayu dan agama Islam.

Tetapi situasi ini tidak berlaku dalam pakatan pembangkang kerana PKR akan sentiasa mengikut telunjuk DAP seperti mana Pas yang dilihat hanya 'pak turut' sahaja dalam parti itu. Sebab itulah, berbanding hubungan dengan Pas, hubungan antara PKR dan DAP jauh lebih rapat dan akrab.

Apabila pemimpin-pemimpin DAP menentang hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas, maka PKR paling ke depan menyokong pendirian DAP itu. Pemimpin-pemimpin PKR tidak pernah mempedulikan perasaan Pas kerana mereka tahu Pas tidak mampu berbuat apa-apa.

Lanjutan itu, dalam kerjasama dalam pakatan pembangkang, PKR dan DAP dianggap berkongsi idealisme yang sama. Apa kata DAP itulah kata PKR, apa pendirian DAP itulah yang akan disokong PKR, apa tindakan DAP itulah yang akan disertai oleh PKR.

Demikianlah hebatnya hubungan antara PKR dan DAP sehingga wujud persepsi bahawa mengundi PKR sama juga dengan DAP kerana teras dan matlamat perjuangan kedua-dua parti itu tidak ada bezanya. Walaupun Pas menyedari perkara ini, namun parti itu masih mahu berada dalam pakatan pembangkang kerana impian Pas ialah bersama-sama bertakhta di tampuk kekuasaan dengan kedua-dua parti.

Keadaan itu sudah tentulah menggembirakan PKR untuk terus memainkan peranannya memperkukuhkan kedudukan DAP secara tidak langsung dalam Dewan Rakyat memandangkan selama ini PKR tidak mempunyai apa-apa kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.

Kebanyakan kerusi yang mereka menangi terutamanya kerusi milik UMNO bukan kerana PKR kuat atau mempunyai penyokong yang ramai tetapi disebabkan pada 2008 ada sentimen yang cukup kuat untuk menolak UMNO berikutan perasaan tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan negara ketika itu.

Tindakan terburu-buru pengundi Melayu memberikan undi mereka kepada PKR dengan hasrat untuk memberi isyarat kepada UMNO supaya mendengar denyut nadi rakyat ternyata membawa padah kerana ia memberi laluan kepada PKR untuk membolot kerusi berkenaan.


Tetapi kemenangan PKR itu tidak mendatangkan manfaat kepada orang Melayu yang menyokong mereka kerana kemenangan tersebut sekali gus memperkukuhkan kedudukan DAP memandangkan mereka sudah ada parti yang diketuai oleh pemimpin Melayu yang akan menyokong perjuangan politik mereka.

'Kekuatan' DAP untuk meraih sokongan orang Melayu semakin kukuh apabila Pas juga berada di dalam pakatan pembangkang. Sikap pemimpin-pemimpin dan penyokong Pas yang turut bermati-matian berkempen untuk memenangkan calon-calon PKR dan DAP tanpa melihat kesannya kepada orang Melayu telah menyebabkan DAP bertambah kukuh.

Pendirian

PKR sama sekali tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, mereka mengharapkan sokongan pengundi DAP dan Pas untuk mencapai kejayaan. Begitu juga dari segi jentera pilihan raya, PKR adalah parti yang mempunyai jentera paling lemah dalam pakatan pembangkang.

Namun semua itu bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan selagi Pas bersama pakatan pembangkang. Pas bukan sahaja bersedia bertungkus-lumus memenangkan calon PKR malah di Kelantan bersedia mengorbankan kerusi miliknya untuk membolehkan PKR bertanding.

Bagaimanapun pengorbanan Pas tidak begitu dihargai oleh PKR, sebaliknya PKR lebih bersedia senada dan sekata dengan DAP dalam semua isu termasuklah hukum hudud. Pas sengaja melupakan bahawa tindakan mereka menyokong PKR bukannya sekadar memperkukuhkan pakatan pembangkang tetapi lebih daripada itu menguatkan DAP.

Sejarah politik negara telah menunjukkan bagaimana DAP agak sukar mendapat sokongan orang Melayu. Walaupun parti itu mendakwa parti pelbagai kaum tetapi apa yang didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim sudah membuktikan segala-galanya.

DAP pun tahu sejauh manakah kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi Melayu, kalau bersendirian mereka tidak akan mampu berbuat demikian kerana amat memahami sentimen orang Melayu terhadap mereka.


Tetapi kini dengan menjalin kerjasama dengan PKR, DAP sudah tidak perlu risau lagi perkara itu, apatah lagi diperkukuhkan pula kesepakatan bersama Pas. Biar pun DAP tahu antara parti itu dan Pas mempunyai ideologi cukup berbeza namun dengan adanya PKR, mereka boleh 'memakai topeng' PKR untuk meraih sokongan orang Melayu.

'Pemakaian topeng' inilah yang memungkinkan DAP begitu berkuasa dalam pakatan pembangkang dan sentiasa seiringan dengan PKR sehinggakan biarpun PKR tidak lagi mempunyai kerusi terbanyak dalam kalangan pakatan pembangkang namun DAP tetap memberikan penghormatan kepada Anwar untuk menjadi ketua pembangkang.

Kalau DAP ikhlas sudah tentu mereka akan memberikan kedudukan itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana Pas mempunyai kerusi lebih daripada PKR, tetapi DAP tidak berbuat demikian kerana tidak yakin Pas akan membawa aspirasi perjuangan mereka seperti mana PKR.

DAP masih ragu dengan pendirian Pas dalam soal perjuangan orang Melayu dan umat Islam, oleh itu bagi DAP, Pas hanya layak digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu melalui kekuatan jenteranya sahaja dan bukannya harus diberi kedudukan melebihi PKR apatah lagi DAP.

Justeru orang Melayu seharusnya memahami mainan politik tersirat DAP dan PKR ini, jika tidak mahu 'menang sorak kampung tergadai'.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment