~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, April 25, 2012

SPRM mula siasat Air Kelantan Sdn. Bhd.!


Selepas lima bulan Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas mengenai bekalan air di Kelantan yang tercemar, pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di Kota Bharu semalam untuk memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dalam syarikat pengurusan air berkenaan.

Difahamkan, pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya itu tiba pada pukul 10 pagi semasa mesyuarat Lembaga Pengarah AKSB yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berlangsung.

Mereka berada di pejabat AKSB sehingga petang dan mengambil keterangan beberapa pegawai kanan syarikat berkenaan sebelum pulang dengan membawa beberapa fail penting untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, SPRM bertindak menyiasat syarikat pengurusan air tersebut setelah menerima laporan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam urus tadbir AKSB melibatkan kerugian berjumlah jutaan ringgit pada Mei lalu.

Beliau berkata, AKSB didakwa melakukan penyelewengan apabila terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh syarikat tersebut bakal mendatangkan kerugian besar.

“Antara dakwaan penyelewengan yang disiasat SPRM adalah AKSB akan mengalami kerugian kira-kira RM130 juta dalam projek air tidak berhasil (NRW).

“Turut disiasat adalah penggunaan bahan kimia PAC3 yang kosnya meningkat berkali ganda dan keputusan menukar 80,000 meter pintar di seluruh Kelantan yang membabitkan kos sebanyak RM11 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas empat siri mengenai bekalan air di Kelantan yang tercemar dengan logam berat dan bakteria bermula edisi Mingguan Malaysia pada 20 November tahun lalu sehingga menarik perhatian ramai di negeri itu dan perbualan di seluruh negara.

Selain itu, sumber berkata, SPRM juga akan menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam pembinaan loji air di Kampung Sireh, Kota Bharu yang dikatakan menelan kos puluhan juta ringgit.

Beliau berkata, siasatan semalam masih di peringkat awal dan pegawai terbabit difahamkan akan kembali ke pejabat AKSB pada Khamis ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kehadiran sekumpulan pegawainya ke pejabat AKSB semalam tetapi enggan mengulas lanjut.

Manakala, SPRM siasat AKSB: Nik Aziz sedia beri kerjasama


Kerajaan Negeri Kelantan bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, termasuk berkaitan urus tadbir syarikat Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, komitmen tersebut bagi menentukan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Saya sedia buka pintu 24jam untuk pihak berkenaan membuat siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Maahad Pengajian Islam (MPI) di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini, mengenai berapa pegawai dari SPRM hadir di pejabat AKSB di sini, Isnin lepas, untuk memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dalam syarikat pengurusan air tersebut.

Sebelum itu, Kelantan akui tidak mampu siapkan projek bekalan air

Kerajaan Pas Kelantan mengakui tidak mampu menyiapkan sepenuhnya projek bekalan air bersih dalam tempoh singkat, walaupun kerajaan pusat memberi pinjaman tanpa faedah kira-kira RM618 juta, termasuk untuk projek bekalan air itu.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata ini kerana peruntukan itu diluluskan secara berperingkat mengikut keperluan dan pelaksanaan projek.

"Kita tidak mampu menyiapkan semua projek yang dilaksanakan dalam masa singkat walaupun peruntukan diluluskan melalui pinjaman kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Anggota Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini.

Md Anizam mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyatakan kerajaan pusat telah menyalurkan peruntukan RM1.058 bilion, termasuk pinjaman tanpa faedah RM597.8 juta untuk Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih dalam tempoh 12 tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak pernah “menganaktirikan" Kelantan biarpun ia diperintah oleh PAS sejak 1990.

Katanya, peruntukan pinjaman yang sudah diterima AKSB setakat ini adalah RM540 juta daripada kelulusan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM618 juta.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment